KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengoptimumkan perbelanjaannya walaupun terdapat keperluan untuk meningkatkan hasil, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, penting untuk menunjukkan perbelanjaan kerajaan yang optimum tetapi pada masa yang sama, ekonomi negara perlu berkembang supaya pendapatan rakyat dapat meningkat kepada tahap tertentu dan perbincangan untuk menjana hasil perlu dinilai berdasarkan dua faktor ini.
Iklan
Iklan
"Kami telah berbincang mengenai cara untuk (merasionalisasikan perbelanjaan kerajaan), (terutamanya) subsidi. Kami sedang melalui proses tersebut.
"Pada pendapat saya, itulah pendirian yang diambil kerajaan sekarang. Kita hanya perlu menunggu pengumuman oleh Perdana Menteri mengenai belanjawan pada Jumaat ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Tinjauan Ekonomi Malaysia ke-30 Bank Dunia di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kerajaan mungkin mempunyai perbelanjaan peruntukan pembangunan yang meningkat tetapi jika ia tidak mengoptimumkan kos atau mendapatkan nilai terbaik daripada setiap RM1 yang dibelanjakan, hasilnya tetap akan dilihat sebagai kekurangan oleh rakyat.
Di peringkat makro, katanya perbelanjaan kerajaan mungkin tidak mempunyai kesan limpahan yang diingini ke atas ekonomi, terutamanya dalam perkhidmatan sosial, pendidikan, kesihatan dan peningkatan kemahiran bakat.
"Oleh itu, kami sedang melalui proses itu sekarang untuk menyelaraskan semula perbelanjaan kami dan itu termasuk, sebagai contoh, penanda aras kos.
"Kami mahu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan adalah kos yang paling setanding di pasaran secara keseluruhannya," katanya.
Mengenai pembaharuan subsidi RON95 dan mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, Rafizi berkata, Malaysia mempunyai"sedikit ruang tambahan" untuk mencapai sasaran fiskalnya.
"Beberapa perkara telah berubah. Misalnya, dengan pertumbuhan ekonomi yang tinggi, kita (sekarang) mempunyai sedikit ruang tambahan untuk mencapai sasaran fiskal tetapi terdapat juga beberapa perubahan seperti pengukuhan ringgit yang juga bermakna kurang tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
"Bagaimanapun, saya rasa apa yang paling penting bagi kerajaan ialah mengimbangi segala-galanya berikutan semua parameter ini saling berkaitan," katanya.
Sektor pertanian Malaysia
Terdahulu, dalam ucapan, Rafizi mengakui bahawa industri pertanian telah mengalami jurang pemodenan.
Dari segi produktiviti, katanya nilai tambah setiap jam bekerja telah menurun kepada RM24.8 pada 2023 daripada RM25.2 pada 2015 manakala sektor pembuatan dan perkhidmatan hampir dua kali ganda lebih produktif.
"Ini memberikan tekanan kepada gaji. Sektor yang penggajiannya masih berkembang pada kadar 4.2 peratus tetapi kebanyakannya dari luar bandar. Ini memberikan implikasi sosial yang serius," katanya.
Rafizi mengingatkan kegagalan untuk menangani isu ini akan menyebabkan negara menghadapi"dilema Detroit", iaitu bandar raya di AS dengan industri automotif yang dilanda kemerosotan, menyebabkan reaksi balas di kotak undi.
"Bagi kami, alasan untuk pemodenan bukan sekadar ekonomi yang baik. Terdapat dorongan sosial yang nyata untuk kerajaan bertindak dengan cepat," katanya.
Rafizi berkata, Malaysia kini mempunyai jumlah penduduk kira-kira 34 juta orang yang dijangka meningkat kepada 45 juta menjelang 2050 dan pada masa yang sama, kerajaan perlu menghadapi kebergantungan kepada import.
Pada 2022, defisit perdagangan makanan Malaysia kira-kira RM31 bilion berikutan negara mengimport 1.7 kali ganda nilai makanan yang dieksportnya.
"Ini memberikan tekanan yang lebih besar. Dengan lebih ramai jumlah penduduk di Malaysia, akan terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk makanan import bagi menyokong penggunaan.
"Bagaimanapun, ia turut mewujudkan ancaman keselamatan - bukan sahaja untuk makanan tetapi juga kepada fungsi ekonomi. Dengan banyak negara kembali kepada dasar perlindungan, kita perlu mempersoalkan sama ada kita mempunyai kapasiti dan bekalan yang mencukupi untuk menyara diri sendiri?" soal Rafizi.
Beliau berkata, menyelesaikan isu ini perlu membina hujah ekonomi baharu untuk pertanian dan matlamat kerajaan ialah memulihkan dan memberi tumpuan semula kepada sektor pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.
Katanya meningkatkan produktiviti akan menjana gaji dan hasil yang lebih tinggi, yang akan mengurangkan pembahagian sosial dan kebergantungan kepada makanan. - Bernama
Artikel Berkaitan