Cubaan seludup e-waste terbongkar, 151 kontena dirampas

Iklan
Taktik seludup e-waste terbongkar menerusi pemeriksaan dijalankan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

PELABUHAN KLANG - Penyeludupan e-waste menerusi penghantaran kargo terbongkar dalam rampasan 151 kontena mengandungi pelbagai jenis sisa tembaga, aluminium dan logam bernilai lebih RM18 juta di Pelabuhan Barat di sini sejak September lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kesemua kontena berkenaan dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II Selangor.

Anis Rizana

Iklan
Iklan

Beliau berkata, operasi pertama melibatkan pemeriksaan terhadap 44 buah kontena menemukan 1,098.19 tan besi sekerap yang dipercayai tidak mempunyai permit import.

"Siasatan awal mendapati kontena mengandungi besi sekerap itu tiba di Pelabuhan Klang pada 13 Ogos lalu dari sebuah negara benua Amerika.

Iklan

"Kesemua besi sekerap berkenaan dianggarkan bernilai RM13.2 juta dan pengimportannya tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Sirim (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah di sini pada Isnin.

Iklan

Katanya, siasatan mendapati pengimport telah membuat pengikraran yang tidak benar dalam dokumen yang disertakan.

"Besi sekerap berkenaan didapati diikrarkan sebagai aluminium alloy, aluminium flakes, dan copper flakes untuk mengelak keperluan permit import bagi tujuan pengimportannya.

"Kejayaan kes ini merupakan hasil kolaborasi bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)," katanya.

Dalam pada itu, Anis Rizana berkata, sebanyak 107 buah kontena mengandungi 2,118.91 tan e-waste bernilai RM5.59 juta berjaya dirampas menerusi operasi bermula 17 Ogos sehingga 4 Oktober lalu.

Ujar beliau, pemeriksaan dijalankan mendapati kesemua kontena mengandungi e-waste itu dikesan menerusi mesin pengimbas yang dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kontena berkenaan didapati mengandungi sisa e-waste dipercayai tidak mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.

"Kesemua e-waste berkenaan dianggarkan bernilai RM5.59 juta dan pengimportannya tertakluk kepada kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar," katanya.