Hutang negara rekod RM1.173 trilion tahun lalu, naik 8.6 peratus

Iklan
Hutang Kerajaan Persekutuan direkodkan sebanyak RM1.173 trilion pada tahun 2023, meningkat sebanyak RM92.918 bilion atau 8.6 peratus berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM1.080 trilion. Foto hiasan

SHAH ALAM - Hutang Kerajaan Persekutuan direkodkan sebanyak RM1.173 trilion pada tahun 2023, meningkat sebanyak RM92.918 bilion atau 8.6 peratus berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM1.080 trilion.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024, hutang itu terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri berjumlah RM1.143 trilion atau 97.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Hutang Persekutuan dan Hutang Luar Negeri berjumlah RM29.851 bilion atau 2.5 peratus.

Jadual kedudukan hutang persekutuan pada tahun 2023 berbanding 2022.

Iklan
Iklan

"Pinjaman Dalam Negeri mencatatkan peningkatan sejumlah RM92.580 bilion atau 8.8 peratus, manakala Hutang Luar Negeri meningkat sejumlah RM0.338 bilion atau 1.1 peratus.

"Kedudukan Liabiliti Persekutuan pada akhir tahun 2023 menunjukkan peningkatan dengan Nisbah Liabiliti Persekutuan kepada Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) pada kadar 81.8 peratus berbanding 78.0 peratus pada tahun 2022.

Iklan

"Ini berikutan kadar pertumbuhan KDNK nominal pada 2023 adalah sebanyak 1.6 peratus lebih perlahan berbanding 2022 pada 15.8 peratus. Nisbah Hutang Persekutuan kepada KDNK pada tahun 2023 pada kedudukan 64.3 peratus juga meningkat berbanding 60.2 peratus pada tahun 2022.

Laporan Ketua Audit Negara itu turut memaklumkan, bagi menambah baik pengurusan Hutang Persekutuan, kerajaan melaksanakan pembaharuan fiskal dengan kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] di Parlimen pada 11 Oktober tahun lalu.

Iklan

Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga mengambil langkah rasionalisasi dan konsolidasi defisit secara berperingkat, iaitu pengurangan defisit daripada 5.5 peratus pada tahun 2022 kepada 5.0 peratus pada tahun 2023.

"Pada tahun 2024, defisit fiskal diunjurkan kepada 4.3 peratus dan kurang daripada tiga peratus untuk tahun-tahun berikutnya.

"Bagi pengurusan hutang negara, langkah-langkah pengurangan hutang daripada 64.3 peratus kepada KDNK pada tahun 2023 sehingga mencapai 60 peratus menjelang tahun 2030," menurut laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 turut merumuskan, Kerajaan Persekutuan hendaklah memberi perhatian serius terhadap pinjaman baharu.

Langkah itu katanya, bagi memberi tumpuan kepada membiayai bayaran balik pinjaman yang akan matang memandangkan Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan bagi melunaskan pinjaman yang akan matang sejumlah RM773.750 bilion dalam tempoh 10 tahun.

"Di samping itu, pinjaman yang dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan perlu dioptimumkan penggunaannya untuk membiayai projek pembangunan fizikal yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi seterusnya dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Selain itu, laporan tersebut turut mengesyorkan pengurusan Hutang Persekutuan yang berhemat bagi mengurangkan pendedahan hutang dan liabiliti serta pemantauan terhadap tindakan rasionalisasi dan konsolidasi.

"Ini kerana, peraturan menetapkan sasaran defisit tidak melebihi 3 peratus kepada KDNK; hutang negara tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK; dan Jaminan Kewangan tidak melebihi 25 peratus kepada KDNK sejajar dengan objektif fiskal di bawah Akta 850," menurut laporan itu.