15 pelajar sekolah menengah di Pulau Pinang dipilih sertai HEIEP 2024

Iklan
Seramai 15 pelajar bersama pengiring akan berlepas ke Kuala Lumpur dari LTAPP sebelum berlepas ke Osaka, Jepun pada awal pagi Selasa

BAYAN LEPAS - Seramai 15 pelajar dari beberapa sekolah menengah di Pulau Pinang dipilih untuk menyertai Program Hibrid Pendidikan & Pengalaman Antarabangsa (HEIEP) 2024 yang akan diadakan di Osaka, Jepun.

Program itu merupakan usaha Usains Group dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Usains Holding Sdn Bhd adalah cabang korporat USM yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, perundingan dan inisiatif pendidikan.

Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Hassan Noh, Arisa Daniella Azly berkata, pemilihannya bersama dua rakan sekolah untuk ke negara matahari terbit itu merupakan anugerah tidak ternilai baginya.

Arisa

Iklan

Menurutnya, peluang tersebut akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya sepanjang seminggu berada di sana.

"Saya akan mengambil peluang ini untuk belajar tentang budaya orang Jepun dan kehidupan mereka untuk memajukan diri terutamanya dalam pelajaran.

Iklan

"Saya juga akan membuat persembahan seperti silat gayung dan tarian dikir puteri di sana. Selain itu, saya juga akan memperkenalkan beberapa permainan tradisional seperti batu seremban, wau dan lempar guli," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini pada Isnin.

Seorang lagi pelajar Tingkatan Tiga SMK Haji Hassan Noh, Syahdan Norizan berkata, dia teruja apabila diberitahu terpilih untuk ke Jepun melalui program tersebut.

Syahdan

Dia yang bercita-cita untuk menjadi doktor berkata, itu merupakan pengalaman pertamanya untuk ke luar negara dan tidak akan sia-siakan peluang tersebut.

"Seminggu selepas diberitahu pihak sekolah bahawa saya dipilih, saya demam, mungkin kerana terlalu teruja. Saya tidak sangka, ia umpama mimpi. Di samping prestasi akademik, kami perlu melalui temuduga untuk menyertai Program HEIEP 2024 ini.

"Peluang ini membolehkan saya untuk mendalami cara kehidupan orang Jepun, kaedah mereka belajar, bekerja, disiplin. Ini semua untuk kemajuan diri saya sendiri. Peluang ini juga membolehkan saya mendapat kawan dari Jepun," katanya.

Sementara itu, Lim Rou En, 15, dari SMK Seri Nibong berkata, peluang untuk menyertai Program HEIEP 2024 itu diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba.

Lim Rou En

"Saya memang belajar bahasa Jepun di sekolah sejak Tingkatan Satu lagi selain belajar di aplikasi Youtube. Memang saya boleh berbahasa Jepun tetapi tidak lah terlalu fasih.

"Oleh itu, pemilihan untuk menyertai program inimenggembirakan saya. Saya akan memanfaatkan sepanjang saya berada di sana," katanya.

Pengarah Urusan Usains Group, Farid Wajidi Mat Yusoff berkata, Program HEIEP 2024 mencerminkan komitmen pihaknya dalam mendemokrasikan akses kepada pendidikan berkualiti.

Farid Wajidi

Menurutnya, dengan memfokuskan kepada komuniti yang kurang diwakili, pihaknya berharap program itu dapat menyemarakkan semangat pembelajaran dan inovasi dalam generasi pemimpin akan datang.

"Inisiatif inovatif ini dijangka merevolusikan pendidikan sekolah menengah rendah dengan menggabungkan kaedah pembelajaran hibrid bersama pengalaman antarabangsa yang mencabar.

"Melalui HEIEP 2024, para pelajar akan menyertai perjalanan transformasi yang melangkaui pembelajaran dalam bilik darjah, menawarkan peluang baharu untuk perkembangan akademik dan peribadi.

"Satu komponen penting dalam HEIEP 2024 adalah kerjasama dengan Setsunan University dan Keiko High School di Jepun, para pelajar akan memulakan perjalanan ke luar negara yang mengubah kehidupan mereka," katanya.

Tambahnya, program itu amat bermakna bagi pelajar daripada komuniti B40 kerana ini adalah kali pertama mereka berpeluang melawat ke luar negara.

"HEIEP 2024 bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan dengan memberikan peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk pembangunan akademik dan pendedahan kepada kemajuan global dan juga dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Selain itu, program ini turut memberi fokus kepada meningkatkan kemahiran sosio-emosi pelajar dan membantu mereka menjadi warganegara global," katanya.