Peniaga buntu pasar hangus, harap ada lokasi baharu

Iklan
Pasar Besar Kuala Krai hangus dalam kebakaran awal pagi Isnin. (Gambar kecil: Lo Goik Chin)

KUALA KRAI - Peniaga Pasar Besar Kuala Krai di sini buntu memikirkan nasib mereka selepas tempat mencari rezeki hangus dalam kebakaran awal pagi Isnin.

Mereka berharap pihak berkuasa tempatan dapat membantu memudahkan urusan menyediakan lokasi baharu untuk menyambung rezeki.

Iklan
Iklan

Peniaga laksa, Fatimah Mamat, 64, mengakui dia masih terkejut dengan kejadian itu yang mengakibatkannya kerugian kira-kira RM10,000.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 1.30 pagi melalui kumpulan WhatsApp pasar berkenaan dan terus bergegas untuk melihat keadaan di situ.

Iklan

"Sebaik sampai, saya hanya mampu melihat lot kedai terbakar dan tiada barang yang dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui di pekarangan pasar itu pada Isnin.

Ibu kepada 12 anak yang sudah berniaga lebih 17 tahun di Pasar Besar Kuala Krai itu berkata, ia merupakan kejadian kali kedua selepas lebih 10 tahun lalu.

Iklan

Dia yang berniaga bersama anak ketiganya, Mohd Ruzairi Safie, 43, turut berharap pihak pengurusan pasar dan Majlis Daerah Kuala Krai dapat memudahkan urusan semua peniaga terjejas.

Peniaga Pasar Besar Kuala Krai hanya mampu melihat barangan mereka hangus dalam kebakaran awal pagi Isnin

"Memang sukar untuk mencari lokasi sesuai tetapi kami amat berharap ada tempat baharu," katanya.

Sementara itu, peniaga barangan runcit dan sayur, Lo Goik Chin, 37, terkedu melihat kesemua tiga lot kedai yang disewa ibunya sejak lebih 30 tahun lalu hangus dalam kejadian itu.

Goik Chin berkata, kedai itu menjadi punca pendapatan utama keluarganya dan kini bingung untuk memulakan semula perniagaan tersebut.

Goik Chin mendapat tahu kebakaran itu melalui penghulu mukim berkenaan yang menghubunginya kira-kira jam 1.30 pagi.

"Saya juga sudah tidak bersemangat untuk berniaga buat masa ini dan hanya berharap semua urusan peniaga akan berjalan dengan baik," ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Noraini Mamat, 60, berkata, kejadian itu mengakibatkan dia hilang mata pencarian utamanya sejak berniaga di situ 16 tahun lalu.

Lebih menyedihkan katanya apabila kesemua enam lot kedai yang disewa hangus dan terpaksa menanggung kerugian lebih RM15,000.

"Stok keropok yang saya beli beberapa hari lalu sebagai persediaan untuk Deepavali turut hangus dalam kejadian itu," jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan Pasar Besar Kuala Krai terbakar awal pagi Isnin mengakibatkan keseluruhan bahagian atas pasar itu musnah.

Difahamkan seramai 17 peniaga yang menjual barangan kering di bahagian atas pasar itu terbabit dalam kejadian kebakaran berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, kebakaran melibatkan 80 peratus bahagian atas bangunan pasar itu, bagaimanapun tidak ada mangsa yang cedera atau terperangkap.