Pendapatan empat angka sebulan jual susu kambing segar

Iklan
Muhammad Ikram menunjukkan susu kambing saanen yang ditempah pelanggan dimana setiap sebotol dijual pada harga RM5.

BESUT - Bermula dengan hanya membeli tiga ekor kambing saanen muda yang baru melahirkan anak, seorang petani berjaya menambah pendapatan sehingga RM2,500 sebulan hasil jualan susu kambing segar.

Muhammad Ikram Borahim @ Ibrahim, 26, berkata, pada mulanya ternakan kambing susu tersebut diusahakan sejak empat tahun lalu untuk kegunaan keluarga.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, ia diperluas selepas melihat sumber minuman segar itu mendapat permintaan tinggi di pasaran.

"Saya mula ceburi bidang ternakan ni selepas lihat ada dalam kalangan rakan-rakan yang memelihara haiwan ini.

Iklan

"Pada mulanya saya hanya membeli ibu kambing muda tanpa anak. Setiap hari ia mampu menghasilkan 4 hingga 5 kilogram (kg) susu," katanya ketika ditemui di Kampung Jabi, Jertih di sini, baru-baru ini.

Menurut Muhammad Ikram, jualan susu segar itu semakin laris selepas dia dan isteri, Siti Aisyah Daud, 25, mempromosikannya melalui media sosial.

Iklan

Muhammad Ikram menunjukkan antara ibu muda kambing saanen yang menghasilkan susu segar.

Katanya, buat masa ini dia terpaksa mengehadkan sementara jualan antara 15 hingga 20 botol sehari yang setiap satunya mengandungi 250 mililiter (ml) susu.

"Kita terpaksa ambil tempahan dahulu memandangkan ketika ini pengeluaran susu adalah terhad kerana hanya lapan daripada 30 ekor kambing yang diternak dapat menghasilkan susu.

"Isteri saya akan mengambil tempahan dahulu sebelum susu kambing itu dijual kepada pelanggan bagi memastikan susu yang dijual berkualiti dan dalam keadaan segar," ujarnya.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, setiap sebotol susu kambing itu dijual pada harga RM5 meliputi kawasan sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Susu kambing dipercayai mempunyai pelbagai khasiat sebab itu ramai yang mencari untuk mendapatkan susu yang masih segar.

"Disebabkan permintaan semakin meningkat, kita bercadang untuk menambah bilangan kambing yang boleh menghasilkan susu.

"Dalam masa yang sama, kita juga akan berusaha mengikuti kursus-kursus berkaitan untuk memastikan produk ini lebih sistematik dan diyakini pelanggan," ujar beliau.