SHAH ALAM - Subsidi produk petroleum adalah yang tertinggi direkodkan daripada keseluruhan perbelanjaan subsidi dikenakan kepada perbelanjaan atau Vot Mengurus bagi tahun 2023.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024, subsidi barangan produk petroleum yang merangkumi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) itu berjumlah RM34.546 bilion atau 70.2 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan subsidi oleh kerajaan.
"Perbelanjaan subsidi produk petroleum ini melibatkan produk petrol, diesel LPG yang dibekalkan oleh 16 syarikat pengeluar bagi tuntutan bulan Januari hingga November 2023.
"Perbelanjaan tersebut menurun sejumlah RM10.638 bilion atau 23.5 peratus berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM45.184 bilion.
"Penurunan ini disebabkan harga purata produk petroleum setong di pasaran dunia adalah berjumlah AS$82.60 berbanding AS$99.80 pada tahun 2022," kata laporan itu pada Isnin.
Dalam pada itu, produk petrol mencatatkan perbelanjaan subsidi tertinggi iaitu RM18.317 bilion, diikuti diesel (RM13.512 bilion) dan LPG pula berjumlah (RM2.717 bilion).
Kerajaan pada 10 Jun lalu mengumumkan penyasaran subsidi diesel membabitkan pengguna seluruh Semenanjung.
Melalui penyasaran itu, kerajaan dijangka mampu melakukan penjimatan sekitar RM4 bilion setahun.