New Zealand belasah Harimau Malaya

Iklan
Skuad negara terpaksa akur dengan kualiti dimiliki New Zealand apabila tewas 0-4 dalam aksi persahabatan di Auckland. Foto FAM

IMPIAN Harimau Malaya untuk cuba mencipta kejutan ke atas New Zealand dalam aksi persahabatan Tier 1 tidak kesampaian apabila dibelasah, 0-4 dalam perlawanan di Stadium North Harbour, Auckland pada Isnin.

Perlawanan menentang pasukan di ranking ke-95 dunia itu nyata memperlihatkan jurang kualiti yang terlalu besar perlu diperbaiki skuad kebangsaan sekiranya mahu mencabar pasukan di kedudukan yang lebih baik.

Iklan
Iklan

Malah, New Zealand yang beraksi tanpa beberapa pemain utama termasuk penyerang Nottingham Forest, Chris Wood pada separuh masa pertama tidak berdepan masalah untuk menguasai perlawanan termasuk mencipta banyak peluang berbahaya ke gawang Harimau Malaya.

45 minit pertama menyaksikan skuad kendalian Pau Marti Vicente itu dikerah untuk bertahan sehingga berlakunya banyak kesilapan dan mudah kehilangan bola ketika cuba membina permainan.

Iklan

Pintu gol yang dikawal oleh Ahmad Syihan Hazmi Mohamed diuji seawal minit ketiga menerusi percubaan Ben Waine yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Benteng pertahanan Harimau Malaya terus diasak pada minit ke-14, namun mujur tandukan Ben Old melewati palang gol pada ketika Ahmad Syihan telah pun tertewas.

Iklan

Pasukan All Whites yang menggunakan sepenuhnya bahagian sayap mereka terus menerus menghadirkan ancaman sekali lagi menerusi Old apabila tendangan lencongnya berjaya diselamatkan Ahmad Syihan pada minit ke-28.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia tampil dengan permainan lebih baik dan berjaya mencatatkan percubaan tepat ke gawang New Zealand pada minit ke-51 namun tandukan Romel Morales diselamatkan Alex Paulsen.

Serangan balas pantas dilakukan New Zealand berhasil apabila Elijah Just berjaya menewaskan Ahmad Syihan untuk gol pertama pasukan tuan rumah pada minit ke-53.

Pasukan kendalian Darren Bazeley itu menggandakan kedudukan pada minit ke-61 apabila Matthew Garbett mudah melakukan rembatan hasil hantaran Liberato Cacace.

Gawang negara terus bocor selepas Ahmad Syihan gagal menampan bola tinggi hantaran Kosta Barbarouses untuk membolehkan Wood yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menanduk gol ketiga New Zealand.

Pasukan tuan rumah melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol keempat menerusi percubaan dari luar kotak penalti seorang lagi pemain gantian, Logan Rogerson pada penghujung perlawanan.