Karnival UDA 2024 dekati komuniti Johor

Iklan
Mohd Annuar (tiga dari kiri) di reruai sekolah yang menghasilkan baja kompos daripada sisa lebihan makanan sempena Karnival UDA 2024 yang diadakan di sini pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - UDA Holdings Berhad (UDA) merancang untuk menjemput Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor untuk menyertai Karnival UDA pada masa akan datang. Pengerusinya, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, jemputan berkenaan dibuat susulan penyertaan dua sekolah sempena Karnival UDA 2024 yang menampilkan daya kreativiti berhubung penjagaan alam sekitar.

"Pertama kali saya melihat dua sekolah menyertai Karnival UDA dan murid-murid mempunyai daya kreativiti berhubung penjagaan alam sekitar. Salah satu sekolah yang menyertai karnival ini ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yee 2.

Iklan
Iklan

"Sekolah tersebut menjadikan sisa atau lebihan makanan sebagai baja kompos. Ia menjadi sumber pendapatan kepada sekolah dan secara tidak langsung mendidik murid-murid dalam bidang keusahawanan," katanya.

Mohd Annuar berkata demikian sempena Karnival UDA 2024, di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir dan merasmikan karnival berkenaan ialah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor. Hadir sama Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany.

Tambah Mohd Annuar, setiap sekolah mempunyai lebihan makanan seperti sekolah berasrama penuh. Malah katanya, sebelum ini, kesemua sisa makanan tersebut dijual kepada penternak khinzir.

Iklan

"Saya difahamkan, sebanyak 77 sekolah di Johor telah menyertai program seperti ini yang turut mendedahkan mengenai keusahawanan. Apa yang dilakukan oleh sekolah berkenaan patut diketengahkan di peringkat nasional,” jelas Mohd Anuar.

Dari kiri: Mohd Annuar, Mohd Jafni dan Mohd Salem melancarkan Karnival UDA 2024, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, UDA akan memberi ruang kepada sekolah terlibat mempamerkan produk mereka dan tidak perlu membayar sewa.

"UDA akan membiayai sekolah yang terlibat untuk mempamerkan produk mereka sekali gus kami menggalakkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan muridmurid.

"Usaha ini adalah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA yang akan diperkenalkan," katanya.

Karnival UDA @ Johor yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu menyasarkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM92.5 juta melibatkan hartanah bernilai RM90 juta dan usahawan berjumlah RM2.5 juta.

Karnival berkenaan turut berjaya menghimpunkan 160 usahawan melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam karnival yang masuk tahun ketiga penganjurannya itu.

Johor yang menjadi lokasi ketiga penganjuran karnival berkenaan tahun ini, menjadi antara lokasi tumpuan kerana sambutan serta sokongan warga selatan tanah air, khususnya di wilayah pembangunan UDA dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran kira-kira 180,000 pengunjung.

Untuk rekod, sebanyak tujuh zon ditampilkan pada karnival kali ini termasuk Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa & Ma selain kolaborasi dengan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Johor, Pertubuhan Peladangan Negeri Johor, Kraftangan Malaysia Cawangan Johor serta Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Karnival itu juga dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti Fiesta Bakat oleh Majlis Sukan Negara (MSN), 'Jom Mewarna Bintang Kecil bersama Didi & Friends', sukan rakyat kanak-kanak tadika, pertunjukan api, Jualan MADANI Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta persembahan artis seperti Haziq Rosebi dan HyperAct.

Selain itu, UDA turut menyantuni komuniti yang memerlukan dengan menyalurkan zakat wakalah kepada 10 usahawan asnaf berjumlah RM30,000 dan RM50,000 melalui Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime Sempena Program UDA Cares yang memanfaatkan seramai 500 pelajar asnaf di Johor.