Negeri Sembilan terus pelihara pokok getah tertua

Iklan
Berusia lebih seabad, pokok getah yang antara yang pertama ditanam di negara ini masih subur berdiri utuh di tengah bandar, sekaligus menjadi tarikan pelancong ke negeri beradat ini. - Foto Bernama

SEREMBAN - Pokok getah tertua di Negeri Sembilan masih subur berdiri teguh di tengah bandar raya ini walaupun berusia lebih seabad sekali gus menjadi daya tarikan kepada pelancong.

Ditanam pada 1877 di Taman Tasik Seremban di sini, pokok getah berkenaan juga antara tertua di Malaysia mempunyai ukur lilit 4.5 meter dan berketinggian lebih 25 meter yang dianggarkan bernilai mencecah RM750,000.

Iklan
Iklan

Biji benih pokok warisan itu dibawa oleh pelopor industri getah Malaysia Sir Henry Nicholas Ridley dari Taman Kew, England ke Tanah Melayu pada Jun 1877.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, 11 daripada kumpulan benih pokok getah pertama yang dibawa dari England itu ditanam di Taman Botani Singapura, sembilan di Kuala Kangsar, manakala masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

Iklan

"Pokok getah yang begitu berharga dan bersejarah ini merupakan antara senarai yang ada dalam jejak warisan Seremban dan pelancong wajib datang melihat sendiri pokok getah pertama dan tertua yang ada di Negeri Sembilan.

"Biarpun pokok ini telah berusia, namun nilai sejarah yang dimiliki tidak boleh ditukar ganti. Oleh sebab itu, kita kena jaga dan pelihara pokok getah tertua ini sebaik-baiknya bagi memastikan peninggalan itu dapat terus ditatap generasi akan datang,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata, ia bukan sahaja berperanan sebagai antara daya tarikan pelancongan di negeri ini, malah mempunyai nilai sejarah yang perlu dipelihara.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, Jabatan Taman dan Landskap Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bertanggungjawab memelihara pokok bersejarah itu termasuk membersihkan kawasan berkenaan setiap hari.

Beliau berkata, MBS turut mendapatkan khidmat arboris atau pakar tumbuhan berkayu yang membuat penilaian dan memantau risiko sesuatu pokok.

"Kajian ini bertujuan untuk kita kenal pasti status pokok dan penyediaan inventori serta mendapatkan khidmat nasihat bagi pengurusan risiko pokok.

"Arboris ada mencadangkan kepada kita untuk buat rawatan pokok termasuk cantasan dan kawalan makluk perosak bagi mengekalkan tahap kesuburan pokok getah itu sekali gus melanjutkan jangka hayatnya,” katanya.

Mustafa Muhammad, 45, dari Kajang, Selangor berkata, dia mengetahui mengenai kewujudan pokok itu melalui media sosial semasa mencari destinasi menarik di Seremban untuk dilawati.

"Pada cuti hujung minggu saya akan membawa anak-anak berjalan-jalan, ini adalah pengalaman pertama melihat pokok getah yang sangat besar seperti ini, mungkin ramai tidak tahu mengenai sejarah ini terutama generasi muda,” kata bapa kepada empat anak itu.

Masita Baba, 63, dari Melaka teruja apabila dapat melihat sendiri pokok getah antara tertua di negara ini.

"Saya tidak sangka ada pokok getah sebesar ini memandangkan selama ini saya hanya pernah melihat pokok getah biasa sahaja semasa mencari daun getah untuk membalut tapai,” katanya. - Bernama