Bolehkah menipu untuk menutup aib?

Iklan
HARUS menipu untuk menutup aib diri sendiri walaupun disuruh untuk bersumpah dengan syarat ia tidak didedahkan kepada orang lain dan tidak melibatkan hak orang lain. Foto CANVA

SETIAP orang mempunyai sejarah peribadi yang tersendiri dan apa-apa yang dilakukannya sebelum ini merupakan sejarah yang disimpan rapi, termasuk perbuatan maksiat yang mungkin dilakukan ketika jahil.

Bagaimanapun kadangkala, ada sesetengah pihak sengaja cuba untuk mencungkil kembali sejarah silam hitam tersebut.

Iklan
Iklan

Ia termasuklah penceramah motivasi atau guru yang bertanyakan kepada anak-anak muridnya dan adakalanya dipaksa untuk bersumpah agar mereka tidak menipu jawapan yang diberikan.

Persoalannya, bolehkah anak-anak murid menipu dengan tidak mengaku dengan alasan untuk menutup aibnya? Jika disuruh bersumpah pula, apakah dibolehkan bersumpah palsu untuk menutup aib masing-masing?

Iklan

SETIAP orang mempunyai sejarah hidup masing-masing yang adakalanya melibatkan aib diri sendiri. Foto CANVA

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, secara asasnya bertanya kepada orang lain tentang dosa peribadi mereka merupakan perbuatan haram dan ia termasuk dalam larangan ALLAH SWT untuk mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain (at-tajassus).

Iklan

Ia berdasarkan firman ALLAH SWT dalam ayat ke-12 surah al-Hujurat:

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka (supaya kamu tidak membuat sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.

"Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau keaiban orang lain serta janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain.”

Begitu juga membuka aib sendiri dengan memberitahu dosa peribadi kepada orang, ia juga haram dilakukan jika dilakukan dengan perasaan bangga atau mengambil ringan tentang dosa yang dilakukan.

"Ia boleh menyebabkan dosa tersebut tidak diampunkan sekiranya tidak bertaubat sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

"Setiap umatku berada dalam keadaan sejahtera (selamat daripada azab yang pedih) melainkan al-Mujahirin (iaitu orang yang mendedahkan dosa sendiri. Sesungguhnya antara perbuatan mendedahkan dosa sendiri itu apabila seseorang melakukan kesalahan pada malam hari, kemudian pada pagi hari dalam keadaan ALLAH telah menutup kesalahan tersebut (daripada pengetahuan orang ramai), dia menghebahkan pula dengan berkata, ‘Aku telah melakukan malam tadi sekian-sekian perbuatan (dosa)’, sedangkan Tuhannya telah menutup keaibannya itu, namun dia membuka tutupan ALLAH tersebut.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

"Apabila seseorang insan itu diuji dengan sesuatu maksiat, maka makruh memaklumkan maksiat tersebut kepada orang lain.

"Syeikh Ibnu 'Allan menjelaskan bahawa hukum makruh itu adalah apabila ia bukan bertujuan untuk berseronok dan mengingati kelazatan maksiat tersebut.

Selain itu katanya, Imam An-Nawawi juga menjelaskan jika dosa tersebut diberitahu kepada seseorang seperti guru untuk mencari sebab dan mendapatkan jalan keluar, maka hukumnya harus, bahkan termasuk dalam perkara yang baik kerana maslahat untuk membantu keluar daripada maksiat tersebut.

Haram menipu, dosa besar

"Hukum menipu pula pada asalnya adalah haram dan merupakan salah satu dosa besar.

MENIPU pada asalnya adalah haram dan berdosa besar. Foto CANVA

"Namun menurut Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Saffarani, mengingkari maksiat peribadi yang pernah oleh diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu keadaan yang diharuskan untuk menipu.

"Ia bagi mengelakkan diri daripada tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendedahkan dosa sendiri yang ALLAH SWT telah tutup, dengan syarat dosa itu tidak didedahkan oleh orang lain,” katanya.

Oleh yang demikian, katanya, diharuskan menipu dengan mengingkari dosa yang pernah dilakukan tersebut untuk menutup aib sendiri.

"Jika orang yang bertanya tersebut terus menekan sehingga meminta untuk bersumpah, maka diharuskan untuk melakukan tauriah iaitu dengan menggunakan ayat mempunyai makna yang difahami pendengar dengan jelas, tetapi sebenarnya apa yang dimaksudkan adalah perkara lain yang sama dan tersembunyi.

Tambahnya, bagaimanapun keharusan ini adalah dengan syarat dosa yang dilakukan tersebut tidak melibatkan pengambilan atau penafian hak orang lain.

"Jika ia melibatkan hak orang lain, maka hukum menipu dan tauriah untuk mengingkari dosa tersebut menjadi haram.

"Tambahan pula, keharusan untuk menipu dengan mengingkari dosa yang pernah dilakukan mestilah disertai juga dengan taubat yang sebenarnya daripada dosa-dosa tersembunyi agar ia tidak dijadikan jalan untuk meneruskan dosa-dosa itu secara sembunyi,” hurainya.

Sebagai kesimpulannya, hukum untuk menutup aib sendiri adalah harus selagi dosa tersebut tidak didedahkan kepada orang lain.

"Jika diminta untuk bersumpah, diharuskan untuk melakukan tauriah seperti mengatakan, ‘Aku tidak melakukan perkara tersebut’ tetapi berniat apa yang dimaksudkan adalah tidak melakukan perkara tersebut pada hari ini.

JANGANLAH mendedahkan aib sendiri kepada orang ramai, sebaliknya bertaubat daripada perbuatan maksiat yang telah dilakukan dan berusaha meninggalkannya. Foto CANVA

"Keharusan ini adalah dengan syarat dosa tersebut tidak didedahkan kepada orang lain dan ia tidak melibatkan pengambilan atau menafikan hak orang lain.

"Ia juga mesti disertai dengan taubat dan usaha untuk meninggalkan terus dosa tersebut agar tidak dijadikan jalan untuk meneruskan dosa-dosa itu secara tersembunyi,” katanya.