Penjenayah dalang sindiket samun emas ditembak mati

Iklan
Suspek maut di tempat kejadian dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Slim Lama dekat Tanjung Malim pada Isnin.

IPOH - Seorang penjenayah yang disyaki menjadi dalang dalam 25 kejadian samun emas di enam negeri sejak 2018 maut dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Slim Lama dekat Tanjung Malim pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 3.10 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu yang memandu kereta jenis Nissan Almera dikesan pasukan polis sedang memecut laju di jalan terbabit.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dalam adegan kejar-mengejar itu, suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah dua kenderaan polis yang dinaiki lapan anggota.

"Bertindak untuk mempertahankan diri, pihak polis telah membalas beberapa tembakan dan mengenai suspek.

Iklan

"Setelah keadaan selamat, pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati suspek ditemukan berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini.

Seorang lelaki yang menjadi dalang kumpulan samun emas maut di tempat kejadian dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Slim Lama dekat Tanjung Malim pada Isnin.

Iklan

Menurut Azizi, suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau merupakan salah seorang dalang kumpulan penjenayah yang menyasarkan mangsa dalam kalangan pemborong emas di negara ini.

"Semakan kumpulan yang tidak boleh didedahkan namanya itu telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 25 kes samun emas melibatkan Kontinjen Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak sejak tahun 2018 dengan kerugian dianggarkan bernilai RM34.2 juta.

"Kejadian terbaru melibatkan samun pembekal emas yang berlaku di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu dengan kerugian emas seberat 4.5 kilogram bernilai RM1.485 juta," katanya.

Azizi bersama Timbalannya, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek.

Azizi berkata, semakan lanjut mendapati kereta dipandu suspek merupakan kenderaan curi bersabit laporan Taman Pelangi, Johor pada tahun 2017.

"Polis turut menemukan sepucuk pistol tertera tulisan Sig Sauer bersama satu kelopak mengandungi enam butir peluru dan tiga botol mengandungi serpihan anak peluru dan tiga kelongsong peluru.

"Polis merampas dua bilah parang dan sebuah beg mengandungi tiga topi, plastik mengandungi rantai, dua set sarung tangan, topeng muka dan sehelai baju T lengan panjang berwarna hitam," katanya.

Ujar beliau, dalam kejadian itu, kesemua anggota tidak mengalami kecederaan dan terdapat satu kesan tembakan pada kenderaan polis.

Tambahnya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.