Monyet serang kanak-kanak sudah ditangkap - Perhilitan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

SEREMBAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan telah mengambil tindakan dengan menangkap monyet yang menyerang seorang kanak-kanak perempuan sehingga cedera di Taman Warisan Puteri di sini pada Ahad.

Pengarahnya, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan serangan kera ke atas kanak-kanak itu pada jam lebih kurang 6 petang.

Iklan
Iklan

"Monyet berkenaan berjaya ditangkap pada hari sama kira-kira jam 9 malam walaupun pada awalnya agak sukar kerana haiwan tersebut bermain di sekitar bumbung rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kanak-kanak perempuan cedera di kaki kiri selepas diserang binatang berkenaan semasa membantu ibunya mengangkat pakaian di ampaian rumah.

Iklan

Nur Keisha Marissa Mohd Irfan, 10 kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas mengalami kecederaan agak serius selain perlu dipantau dalam tempoh seminggu ini bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Faizal Izham mengingatkan orang ramai supaya tidak memberi makanan kepada binatang liar bagi mengelakkan kehadirannya di kawasan perumahan.

Iklan

"Diharapkan amalan memberi makan kepada haiwan liar dihentikan agar monyet tidak merayau di penempatan manusia untuk mencari makan dan boleh menyebabkan konflik terus berlaku," katanya.