Rasuah konsesi pasir: Bersatu Selangor serah SPRM jalankan siasatan

Iklan
Sinar Harian melaporkan, sejumlah mata wang asing bernilai kira-kira RM5 juta ditemukan SPRM ketika menggeledah di sebuah pangsapuri di sini, yang didakwa dijadikan 'safehouse' seorang ahli politik berpengaruh pada Sabtu.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu rasuah dalam konsesi perlombongan pasir membabitkan ahli politik terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di negeri ini.

Setiausahanya, Datuk Azman Yaakob berkata, pendirian parti itu jelas dan tidak mahu mencampuri urusan SPRM.

Iklan
Iklan

"Kami di peringkat pimpinan (Bersatu) Negeri Selangor berpendirian membiarkan SPRM untuk bekerja mengikut kapasiti mereka dan kita tunggulah hasil (siasatan) tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Bagaimanapun Azman memberitahu, Bersatu Selangor juga tetap mendukung solidariti untuk bersama-sama pimpinan sekiranya ada pemimpin parti itu dikaitkan dalam kes terbabit.

Iklan

"SPRM biar mereka buat kerja secara profesional dan pada masa sama atas prinsip solidariti kepimpinan parti tetap memberikan sokongan kepada pemimpin kami sekiranya terlibat.

"Kami percaya selagi tidak disabitkan bersalah, sosok atau individu terlibat tidak boleh kita ketepikan dan membebankannya bersendirian," ujar beliau.

Iklan

Menurut Azman, beliau percaya individu yang ditahan itu tidak boleh disabitkan bersalah selagi tidak melalui proses mahkamah untuk dibicarakan secara adil dan saksama.

"Perkara ini perlu dibawa kepada perundangan terlebih dahulu untuk menentukan (bersalah atau pun tidak).

"SPRM menjalankan tanggungjawab mereka dan kemudian mahkamah akan membuat pertimbangan terhadap individu terbabit yang berhadapan dengan proses ini," tambahnya.