Banjir Baling: Kawasan rumah pusaka berubah jadi laluan sungai

Iklan
Keadaan rumah milik Mohd Naim Asri Baharom, 46, yang mengalami kerosakan teruk akibat gelombang ketiga banjir di Kampung Teluk Rambong. - Foto: Bernama

BALING - Seorang penduduk Kampung Teluk Rambong di sini buntu melihat kawasan rumah pusaka yang didiaminya bertukar menjadi sebahagian laluan sungai berhampiran dalam kejadian banjir terbaru malam semalam.

Mohd Naim Asri Baharom, 46, berkata, akibatnya halaman rumah pusaka berkenaan kini dipenuhi pasir dan batu yang dibawa arus ketika air sungai melimpah setelah hujan lebat selama beberapa jam.

Iklan
Iklan

"Siang semalam hanya lumpur dalam kawasan rumah bersama sisa jambatan yang hanyut, tetapi hari ini batu dan pasir pula penuh rumah, dah jadi laluan air sungai.

"Kalau air naik lagi, akan berubah pula (sisa hanyut), macam itulah bila banjir," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

Halaman rumah Mohd Naim telah berubah menjadi laluan sungai kecil setelah banjir melanda di Kampung Teluk Rambong pada Sabtu - Foto: Bernama

Iklan

Pekerja kilang itu berkata, keadaan bumbung dan dinding rumahnya yang telah pun roboh sebahagiannya dalam banjir kelmarin semakin teruk apabila sekali lagi dilanda bencana itu malam tadi.

"Saya tak nampak harapan untuk tinggal di rumah ini lagi, memang perlu cari kawasan lain untuk tinggal, nak kena sewa rumah lain.

Iklan

"Perasaan sedih tak boleh nak digambarkan, rumah pusaka tempat saya membesar bersama adik-beradik, memang banyak kenangan," katanya yang kini tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan berhampiran.

Mohd Naim Asri yang tinggal bersendirian di rumah pusakanya itu berkata, banyak barangan yang mempunyai kenangan semasa kecil seperti pakaian lama, perabot dan gambar hilang dihanyutkan air.

Media semalam melaporkan rumah pusaka milik Mohd Naim Asri yang sedang dibaik pulih rosak selepas kampungnya dilanda gelombang ketiga banjir Sabtu lepas.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan berkenaan mendapati laluan sungai berpecah kepada beberapa aliran kecil dan kawasan asal tebing sungai pula runtuh dan rumah Mohd Naim Asri kini terletak di tengah-tengah laluan air berkenaan.