Buaya seberat 250kg mati akibat tersangkut bubu nelayan

Iklan
Bangkai buaya seberat 250kg itu telah dibawa naik ke darat dan dihantar ke PKHL Sungai Dusun, Selangor untuk tindakan lanjut.

KUALA SELANGOR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan bangkai buaya yang ditemui mati di Sungai Tengi, Ban Kenal disebabkan tersangkut pada bubu yang dipasang oleh nelayan di sungai tersebut.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, buaya jantan spesies julung seberat 250 kilogram (kg) itu ditemui kira-kira 10 kilometer dari Jeti Ban Kenal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan anggota Perhilitan Daerah Sabak Bernam dengan dibantu oleh individu yang menemui bangkai buaya tersebut menaiki bot di Jeti Ban Kenal bagi menjalankan siasatan pada Isnin.

"Bangkai buaya sepanjang tiga meter itu telah dibawa naik ke darat melalui jeti dan kemudiannya dihantar ke Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun, Selangor untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, katanya, Perhilitan Selangor menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendirian.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Iklan

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, bangkai seekor buaya ditemui pemancing di sungai Ban Kenal Tanjong Karang di sini.

Video dan gambar mengenai penemuan reptilia itu mula tular di Facebook sejak Ahad.