Thailand janji sokongan penuh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025

Iklan
Maris Sangiampongsa. Foto Agensi

BANGKOK - Thailand menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025, sambil menekankan peranannya dalam memandu blok serantau itu menghadapi cabaran global yang mendesak.

Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa berkata, selepas kejayaan Laos menamatkan pengerusiannya, perhatian kini tertumpu kepada Malaysia untuk meneruskan usaha dan komitmen ASEAN.

Iklan
Iklan

Maris memuji Laos atas kepimpinannya yang berkesan sepanjang tempoh jawatannya, yang secara rasmi berakhir minggu lepas.

"Thailand yakin sepenuhnya Malaysia akan berjaya sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025. Laos telah menamatkan pengerusiannya dengan sangat berjaya. Kami menantikan kepimpinan Malaysia bukan sahaja untuk meneruskan kerja dan komitmen yang dibuat di Sidang Kemuncak, tetapi juga untuk memimpin komuniti kita yang pelbagai dengan lebih kuat," kata Maris kepada Bernama dalam satu kenyataan di sini.

Iklan

Beliau mengulangi komitmen Thailand untuk menyokong Malaysia dalam mengambil alih peranan kepimpinan ini, sambil menegaskan bahawa Thailand akan memberikan sokongan penuh untuk membantu ASEAN menghadapi cabaran antarabangsa yang pelbagai hari ini, termasuk pemulihan ekonomi, ketegangan geopolitik dan kelestarian alam sekitar.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia sempena Majlis Penyerahan Kepengerusian ASEAN di Vientiane pada Jumaat lepas serta Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak berkaitan.

Iklan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul Pengerusi ASEAN daripada Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone, pada majlis penutupan itu.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali - pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Malaysia sekali lagi bersedia untuk menghadapi cabaran besar ini tahun depan, dalam menghadapi cabaran global baharu. - Bernama