TAWAU - Seekor anak gajah yang jatuh ke gaung berjaya diselamatkan dan dipertemukan semula dengan kumpulannya dalam kejadian di Ladang Seraya, Benta Wawasan dekat sini baru-baru ini.
Kejadian dipercayai berlaku pada pagi 3 Oktober lalu itu berjaya menyatukan anak gajah yang terpisah daripada ibunya.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Roland Oliver Niun mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
"Anak gajah itu jatuh ke dalam lubang gaung. Usaha mengeluarkan gajah tersebut telah dilakukan oleh pasukan Unit Gajah Benta Wawasan bersama renjer komuniti JHL.
"Mereka diminta untuk pertemukan anak gajah tersebut dengan kawanannya dan anak gajah itu telahpun menemui kumpulannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi 52 saat yang memaparkan sekumpulan individu sedang mengeluarkan anak gajah yang terperangkap dalam lubang.
Selepas diselamatkan, anak gajah itu dibawa untuk bertemu dengan gajah lain dipercayai ibunya.