JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 35 penjaja warga asing di sebuah festival makanan jalanan di bandar raya ini pada Sabtu.
Menurut Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, Ops Selera dilaksanakan mulai jam 8.30 malam itu menyerbu lebih 52 gerai makanan di festival berkenaan.
"Seramai 102 warga asing dan warga tempatan diperiksa dalam operasi itu.
"Ada juga warga asing yang cuba melarikan diri diri ketika pemeriksaan dilakukan di beberapa buah gerai, namun telah dicekup oleh pegawai penguat kuasa," katanya.
Beliau berkata, 35 penjaja warga asing yang ditahan berusia 19 tahun hingga 55 tahun melibatkan 20 lelaki dan enam wanita warga Thailand dan lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.
"Kesemua yang ditahan dikesan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sosial.
"Ia juga kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.
"Selain itu, sebanyak lima notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan," katanya.