Imam Besar Al Azhar, Prof Sachs gesa henti pertumpahan darah di Gaza, Lubnan

Iklan
Sheikh Azhar, Jeffrey Sachs

KUALA LUMPUR - Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Profesor Dr Ahmed Mohammed Al-Tayyib dan Profesor Jeffrey Sachs, pensyarah di Universiti Columbia dan Presiden Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN), sepakat perlunya satu tindakan global bagi menghentikan pertumpahan darah di Gaza dan Lubnan.

Demikian menurut kenyataan berbahasa Arab kedutaan Mesir di sini kepada Bernama pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, dalam pertemuan yang diadakan di pejabat Sheikh Ahmed Al-Tayyib di Kaherah, Mesir, pada Ahad, kedua-dua ilmuwan berkenaan turut mengecam pencerobohan berterusan terhadap Gaza dan Lubnan.

"Sheikh Ahmed Al-Tayyib menegaskan bahawa parti Demokrat dan Republikan di Amerika Syarikat (AS) bersetuju dalam segala hal kecuali sokongan mutlak mereka terhadap entiti Zionis, yang hanya boleh dijelaskan dengan ‘wujudnya kepentingan tertentu’.

Iklan

"Dunia juga lemah dalam menghadapi rancangan jahat Zionis yang bertujuan membunuh rakyat Palestin dan meluaskan skop konflik, ekoran sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa yang memalukan," kata Imam Besar itu.

Sementara itu, Prof Jeffrey Sachs menekankan keperluan suara ilmuwan untuk bersatu dan menyeru AS menghentikan eksport senjatanya ke Israel dan berhenti menggunakan kuasa veto terhadap keputusan yang menyeru menamatkan pencerobohan.

Iklan

Beliau menegaskan"rakyat Amerika mahu menamatkan konflik ini, namun ahli politik di Washington menjadi penghalang untuk mencapai matlamat itu”.

Sachs menjelaskan bahawa ekstremisme agama di Israel telah mencapai tahap tertinggi, dengan teks agama digunakan untuk mewajarkan pencerobohan berterusan.

"Ini membuktikan kepimpinan Israel sememangnya tidak mencari keamanan, malah tidak pernah memikirkan sebarang penyelesaian damai dan tidak mahu menghormati resolusi antarabangsa yang menetapkan hak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara merdeka mereka,” katanya.

"(Punca) krisis ini bukan dari Israel. Israel tidak boleh meneruskan pencerobohan selama satu hari tanpa sokongan AS. Jika AS mengarahnya berhenti, ia akan berhenti, tetapi kita tidak mempunyai Presiden yang benar-benar mahu entiti ini dihentikan, tidak seperti apa yang kita lakukan pada masa lalu," katanya.

Sachs juga mencadangkan mesyuarat yang melibatkan ilmuwan dan pemimpin agama, diadakan di Al-Azhar bagi mencari penyelesaian damai konflik di Timur Tengah seterusnya menghasilkan resolusi bersama, diikuti sidang kemuncak global bagi merumuskan visi global dalam hal ini.

Sheikh Azhar menyambut baik cadangan berkenaan dan menekankan kesediaan pihaknya bekerjasama. - Bernama