KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah 2024 (RUU OBS) yang menyeragamkan beberapa perkara termasuk jumlah cuti pekerja di negeri itu dengan pekerja di Semenanjung.
RUU berkenaan telah dibentang pada 17 Julai lalu untuk bacaan kali pertama semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pindaan tersebut merupakan kali kedua setelah hampir 20 tahun pindaan terakhir pada tahun 2005.
"Pindaan ini menjadi keutamaan dan bukti komitmen kerajaan dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja di Semenanjung Malaysia dan 2.06 juta pekerja Sabah adalah setara, selain mengangkat martabat pekerja setara standard perburuhan antarabangsa.
"Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ingin merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli Parlimen yang turut serta dalam perbahasan serta menyokong pindaan yang amat penting dan bersejarah ini," katanya semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.
Menurut Steven, RUU OBS dijangka dibentang di Dewan Negara pada awal Disember tahun ini untuk dibahas seterusnya diluluskan.
Antara kandungan pindaan termasuk mewajibkan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun sebagai hari kelepasan am.
Selain itu waktu kerja ditetapkan 45 jam seminggu, cuti bersalin 98 hari, pengasingan cuti sakit dan cuti hospitalisasi iaitu masing-masing 14 hari dan 60 hari.
Turut dipinda adalah larangan diskriminasi, larangan buruh paksa dan gangguan seksual di tempat kerja.