TAWAU - Seorang lelaki terperosok di bawah bas selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah bas sekolah di Jalan Kampung Kalabakan di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Shah Bakht Amin, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.51 petang.
Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 86 kilometer dari BBP Tawau.
"Kemalangan melibatkan sebuah bas sekolah jenis Toyota bertembung dengan sebuah motosikal jenis Modenas.
"Terdapat seorang mangsa iaitu penunggang motosikal terperosok di bawah bas.
"Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang terperosok menggunakan peralatan khas namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi tersebut," katanya.