KUALA LUMPUR - Kerajaan mewujudkan lebih 20 pusat rehabilitasi di seluruh negara bagi menempatkan ahli-ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) untuk menyertai Program Rehabilitasi secara sukarela.
Pusat kendalian Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi terlibat adalah inisiatif kerajaan dalam usaha membimbing mereka untuk kembali kepada ajaran Islam.
Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Baharuddin Ahmad berkata, berdasarkan rekod diterima MKN, dianggarkan terdapat seramai 10,500 ahli GISBH di seluruh negara yang dipercayai masih bebas.
"Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat selama tiga bulan atau 90 hari di beberapa pusat latihan kerajaan terpilih selain disediakan penginapan, makan dan minum sepanjang tempoh itu berlangsung.
"Bagi mencapai matlamat ini, semua ahli GISBH yang berada di seluruh negara tidak kira di Sabah atau Sarawak dijemput menyertai program ini untuk menjalani latihan kemahiran secara komprehensif serta pemulihan dari aspek akidah, syariah, pendidikan, kesihatan dan kenegaraan," katanya dalam sidang akhbar, di sini, pada Isnin.
Baharuddin berkata, bagi ahli-ahli yang berkeluarga pihaknya tidak memisahkan mereka dan akan berusaha menyediakan penginapan untuk mereka bersama.
"Ahli-ahli GISBH ini memerlukan bimbingan dan sokongan penuh kerajaan dan masyarakat dalam memastikan aspek akidah dan kelangsungan hidup mereka terjamin.
"Saya menyeru semua ahli GISBH di seluruh negara supaya mendaftar program ini bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih lestari," katanya.
Beliau berkata, setakat ini untuk peringkat awal, MKN menjangkakan ribuan ahli-ahli GISBH akan mengambil peluang menyertai program berkenaan.
"Pendaftaran program ini dibuka selama 30 hari bermula hari ini sehingga 14 November dan ahli GISBH yang ingin mendaftar boleh melayari https://form.jotform.com/242760538389468.
"Mereka yang memerlukan bantuan pendaftaran pula boleh menghubungi pusat panggilan Jakim di talian 03-88707294/7295/7296 atau Bilik Situasi Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) MKN di talian 03-88880733 atau mendaftar di Jabatan Agama Islam Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah," katanya.
Peserta yang menyertai program ini akan dinilai oleh pengarah di setiap pusat mengenai tahap pemulihan mereka sebelum menamatkan program.
Dalam perkembangan berkaitan, Baharudin berkata untuk permulaan program, pihaknya akan menumpukan kepada pemilihan peserta yang berada di dalam negara namun pendafraran juga boleh dilakukan oleh ahli GISBH yang berada di luar negara.
"Permulaan ini, kita (MKN) tumpu ahli GISBH yang berada di dalam negara namun bagi mereka yang berada di luar negara, kita akan fikir usaha seterusnya.
"Kita (MKN) difahamkan GISBH mempunyai rangkaian perniagaan di 19 negara antaranya Australia dan New York,” katanya.
Katanya, ahli-ahli GISBH juga boleh membuat laporan polis sekiranya mereka mendapat ancaman atau ugutan untuk menyertai program ini.
"Jika ada yang menerima ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sila buat laporan polis di mana-mana balai polis yang berdekatan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut pihak polis,” katanya.