KINABATANGAN - Siling sebuah stesen minyak di sini runtuh lalu menghempap enam kenderaan dalam kejadian di Batu 8 Bukit Garam, di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tiada mangsa terlibat atau dilaporkan cedera.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jalalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.47 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Kinabatangan.
"Menurut laporan, berlaku runtuhan pada siling stesen minyak tersebut dan menghempap enam kenderaan jenis Perodua Alza, Perodua Myvi, Proton Exora, Proton X70, Toyota Vigo dan Isuzu D-Max.
"Pasukan bomba yang tiba di lokasi bertindak mengalihkan runtuhan siling tersebut ke tempat selamat dan hasil pemeriksaan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 6.59 petang selepas memastikan keadaan lokasi selamat.