Pendaki maut dihempap pokok ketika tidur dalam khemah

Iklan
Foto hiasan. Gambar kecil: Zukri Muhammad

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pendaki wanita maut selepas dihempap pokok tumbang ketika tidur dalam khemah di Kem Seputih berdekatan Gunung Rajah, Kuala Tahan, Jerantut pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, mangsa, Wan Nurulhuda Mior Abdullah, 49, disahkan meninggal dunia selepas tiba di pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada jam 8.55 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa kejadian mangsa dilaporkan cedera di pinggul dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Berdasarkan maklumat, kumpulan terdiri 10 pendaki bersama seorang malim gunung itu memulakan pendakian pada Isnin lalu.

Iklan

"Mereka dijangka turun pada Ahad bagaimanapun kira-kira jam 12 tengah hari pada hari berkenaan, pihak polis menerima maklumat mangsa dihempap pokok tumbang ketika tidur," katanya.

Zukri berkata, helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah tiba di Kuala Tahan untuk bantuan menyelamat mangsa.

Iklan

"Sebaik tiba di pangkalan udara, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan," ujarnya.

Tambah beliau, pasukan mencari dan menyelamat juga telah bersiap sedia di Kuala Tahan untuk bantuan melalui jalan darat sekiranya khidmat helikopter tidak dapat digunakan.

"Bantuan melalui darat agak sukar kerana akan mengambil masa kira-kira dua hari untuk sampai ke lokasi selain tiada jaringan talian telefon," katanya.