Gaza alami 'satu lagi malam ngeri' selepas serangan maut - Agensi PBB

Iklan
Empat orang terbunuh dan 40 yang lain cedera apabila pesawat tempur Israel menyerang halaman hospital di pusat bandar Deir al-Balah, membakar 30 khemah tempat orang ramai sedang tidur. Foto Agensi

ISTANBUL - Rakyat Palestin mengalami 'satu lagi malam ngeri' di Semenanjung Gaza berikutan dua serangan maut Israel di kawasan itu, lapor Agensi Anadolu, memetik Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Isnin.

Empat orang terbunuh dan 40 yang lain cedera apabila pesawat tempur Israel menyerang halaman hospital di pusat bandar Deir al-Balah, membakar 30 khemah tempat orang ramai sedang tidur.

Iklan
Iklan

Ia berikutan kematian 22 orang, termasuk 15 kanak-kanak, dalam satu lagi serangan udara ke atas sebuah sekolah yang melindungi orang awam yang kehilangan tempat tinggal di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

"Satu lagi malam ngeri di Semenanjung Gaza," kata UNRWA dalam satu kenyataan.

Iklan

"Satu serangan melanda halaman hospital, membakar khemah tempat orang ramai tidur. Sebelum itu, sebuah sekolah UNRWA yang melindungi keluarga, diserang di Nuseirat," tambah kenyataan itu.

UNRWA menambah bahawa sekolah itu"akan digunakan sebagai pusat vaksinasi polio pada Isnin.”

Iklan

Fasa kedua kempen vaksinasi polio untuk kanak-kanak di bawah 10 tahun bermula di tengah Gaza awal pagi Isnin.

Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa gencatan senjata segera.

Hampir 42,300 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 98,600 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Serangan Israel memindahkan hampir seluruh penduduk Semenanjung Gaza di tengah-tengah sekatan berterusan yang membawa kepada kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.

Israel menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza. - Bernama