Malaysia antara negara catat peningkatan terbesar pengaruh diplomatik - Indeks Kuasa Asia

Iklan
Gambar hiasan.

Iklan
Iklan

KUALA LUMPUR - Malaysia merupakan satu daripada dua negara yang menyaksikan peningkatan pengaruh diplomatik terbesar, menurut Laporan Penemuan Utama Lowy Institute 2024.

Laporan Indeks Kuasa Asia edisi 2024 menyatakan Malaysia mencatatkan peningkatan 9.1 mata di belakang Filipina yang mempunyai peningkatan 12.1 mata.

Iklan

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga jauh lebih aktif di peringkat antarabangsa.

"Kedua-duanya (Malaysia dan Filipina) diketuai oleh pemimpin baharu dan aktif secara diplomatik," menurut laporan itu.

Iklan

"Bersama menteri luar, Anwar mengadakan 72 mesyuarat dua hala dengan negara dalam Index, meningkatkan kedudukan Malaysia daripada tempat ke-11 ke tempat ke-5 dalam indikator aktiviti diplomatik ini," tambahnya.

Kedudukan Malaysia untuk kepimpinan serantau meningkat dua anak tangga ke kedudukan ke-12, dan kepimpinan global naik satu tempat iaitu ranking ke-15, menurut laporan itu.

Indeks Kuasa Asia tahunan yang dilancarkan oleh Lowy Institute pada 2018 mengukur sumber dan pengaruh untuk menentukan kedudukan kuasa relatif negara di Asia. Projek ini memetakan pengagihan kuasa sedia ada seperti yang ada hari ini, dan menjejaki peralihan dalam keseimbangan kuasa dari semasa ke semasa.

Indeks ini meletakkan kedudukan 27 negara dan wilayah dari segi keupayaan mereka untuk membentuk persekitaran luaran mereka - skopnya menjangkau sejauh barat Pakistan, sejauh utara Rusia, dan sejauh ke Pasifik seperti Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Edisi 2024 merupakan penilaian paling komprehensif mengenai perubahan pengagihan kuasa di Asia setakat ini.

Ia turut memasukkan Timor-Leste buat kali pertama, mencerminkan kepentingannya yang semakin meningkat berikutan kemungkinan penyertaannya dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun-tahun akan datang.

Indeks Kuasa Asia Lowy Institute terdiri daripada lapan ukuran kuasa, 30 subukuran tematik dan 131 penunjuk.

Lebih separuh daripada penunjuk ini melibatkan penyelidikan asal Lowy Institute, manakala selebihnya diambil daripada ratusan sumber nasional dan antarabangsa yang boleh diakses secara umum. - Bernama