Jumlah mangsa banjir di Perak, Pahang, Melaka terus meningkat malam ini

Iklan
Penduduk meredah air banjir di Kuala Slim. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Perak, Pahang, Melaka terus mencatatkan peningkatan setakat jam 8 malam tadi, manakala jumlah mangsa di Kedah dan Johor semakin berkurangan

Di PERAK, jumlah mangsa meningkat kepada 1586 orang daripada 498 keluarga berbanding 1267 orang daripada 378 keluarga petang tadi di empat daerah iaitu Kerian, Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Muallim yang masih berlindung di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Iklan
Iklan

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa di Mualim terus bertambah malam ini dengan jumlah terkini 580 orang daripada 160 keluarga, ditempatkan di tiga PPS iaitu Dewan Kampung Batu 4, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim dan SK Slim River.

"Di Kuala Kangsar, jumlah mangsa juga meningkat kepada 691 orang daripada 239 keluarga yang masih berlindung di tiga PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RLKT Lasah, SK Lasah dan Dewan Pandak Hamid, Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong di Sungai Siput,” menurut kenyataan sekretariat itu.

Iklan

Di Hulu Perak, jumlah mangsa meningkat kepada 211 orang daripada 65 keluarga yang berlindung di dua PPS iaitu SK Kerunai dan SK Pahit manakala di Kerian, jumlah mangsa menurun kepada 104 orang daripada 34 keluarga dengan mangsa masih ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan PPS SK Parit Haji Aman.

Di PAHANG, bilangan mangsa di Temerloh meningkat kepada 1,247 orang daripada 360 keluarga ditempatkan di lima PPS berbanding 856 individu daripada 244 keluarga pada petang tadi.

Iklan

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dewan SMK Seri Semantan menempatkan 595 orang, manakala SK Desa Bakti menempatkan 566 orang, SK Lanchang 36 orang, Balairaya Mempateh 30 orang dan 20 orang di Masjid Kampung Bongsu.

Rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras air di Sungai Mentiga, Jambatan Chini, Pekan masih melebihi tahap bahaya manakala Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Temerloh kekal melebihi tahap amaran dengan trend yang terus meningkat setakat 7.30 malam ini.

Di MELAKA,jumlah mangsa banjir di Jasin meningkat sedikit kepada 241 orang daripada 81 keluarga berbanding 238 orang daripada 79 keluarga pada 4 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka memaklumkan bahawa kesemua mangsa dari Kampung Kilang Berapi dan Lubok Buaya ditempatkan di empat PPS iaitu SMK Dang Anum, SK Serkam Darat, SK Tedong, dan SMK Dato Abdul Rahman Ya’kob.

Di KEDAH,, jumlah mangsa di empat daerah yang terjejas berkurangan kepada 1,561 orang daripada 501 keluarga berbanding 1,850 orang daripada 606 keluarga pada petang tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, kesemua mangsa ditempatkan di 12 PPS dengan daerah Baling mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 641 orang di lima PPS.

"Di daerah Pendang terdapat 453 orang di dua PPS, Kota Setar (429) di empat PPS dan Pokok Sena 38 orang di satu PPS,” katanya.

Di JOHOR, jumlah mangsa menurun kepada 197 orang berbanding 207 orang pada petang tadi, melibatkan daerah Kluang, Kulai dan Batu Pahat.

Pengerusi JPBN Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, memaklumkan bahawa seramai 99 mangsa daripada 32 keluarga dipindahkan ke PPS di Kluang, 83 mangsa di Kulai dan 15 mangsa daripada dua keluarga di Batu Pahat.

Empat PPS masih beroperasi iaitu di SK Seri Kampung Renggam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Layang-Layang di Kluang, Dewan Kampung Murni Jaya di Kulai serta di SK Seri Bunut di Batu Pahat

"Sungai Sayong di Kampung Murni Jaya, Kulai dan Sungai Sembrong di Batu 2 Sembrong, Batu Pahat serta Empangan Sembrong berada pada paras waspada, manakala cuaca semua daerah adalah cerah setakat 8 malam,” katanya. - Bernama