Bila geng Fazura, Fattah Amin tidak sehaluan

Iklan
Konflik rumah tangga Fattah Amin dan Fazura menemui noktah apabila pasangan pasangan selebriti tanah air itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari Isnin lalu.

KISAH kehancuran rumah tangga pasangan pelakon Fattah Amin dan Fazura mengundang pelbagai reaksi peminatnya.

Ada yang menyokong Fazura atau nama penuh, Nur Fazura Sharifuddin, 40, dan tidak kurang juga dengan peminat-peminat Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34.

Iklan
Iklan

Kurang menarik apabila geng Fazura dan Fattah mula tidak sebulu dan menyebarkan fitnah.

Terkilan dengan perkara itu, pelakon filem Gol & Gincu itu menyatakan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap lima individu susulan tindakan Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah pada 13 September lalu.

Iklan

Sekiranya kita menjadi mangsa fitnah, beberapa perkara boleh dilakukan antaranya membuat laporan polis termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sekiranya perlu, mangsa juga boleh memfailkan saman sivil terhadap pelaku dan membuat tuntutan atas kerugian yang dihadapi akibat sebaran berita tidak tepat itu.

Iklan

Tuntutan ganti rugi boleh dibuat, sebagaimana yang dilakukan penerbit terkenal, Datuk A Aida selepas pelakon, Amelia Henderson melanggar kontrak drama, Sekali Lagi Cinta Kembali oleh syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd, dua tahun lalu.

Susulan itu, Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur pada 7 April tahun lalu, memerintahkan Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 29, selaku defendan membayar lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd, berhubung isu itu.

Bagaimanapun, pelakon itu berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi 27 Oktober tahun sama, bagi mengetepikan keputusan itu dan dia hanya dikehendaki membayar RM10,000.

Sekiranya mangsa mengubah fikiran, kes mungkin berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak mengambil pendekatan untuk bermaaf-maafan.

Itu yang terjadi kepada penyanyi, Siti Nordiana dan lima sekawan, penyanyi, Syura Badron, Lan Solo, isteri Lan, Nur Sheila Hassim; Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi.

Kemelut sengketa yang berlaku berakhir secara baik apabila penyanyi berusia 40 tahun itu selaku plaintif dan lima sekawan tersebut bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah berserta terma-terma penyelesaian.

Sebelum ini, peserta realiti TV itu memfailkan saman RM2.5 juta terhadap lima sekawan ini kerana menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya menerusi satu siaran langsung di Instagram.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat permohonan maaf di Mahkamah Sesyen di sini pada 3 Oktober lalu, kerana memfitnah bekas penasihat Datuk Seri Najib Tun Razak, Habibul Rahman Kadir Shah, pada tujuh tahun lalu.

Mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan permohonan maaf Syed Saddiq selaku defendan dan terma penyelesaian itu.

Hakikatnya, jelas termaktub dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, bahawa fitnah merupakan suatu kesalahan yang benar.

Hukum fitnah adalah haram dan termasuk antara dosa yang besar kerana ia boleh menyebabkan musibah dalam masyarakat.

Ini kerana jenayah itu boleh menyebabkan imej mangsa tercalar, reputasi terjejas, dikecam orang ramai selain menjejaskan kerjaya mereka.

Tidak salah sekiranya kita tidak sehaluan atau sekepala dalam sesuatu isu, namun jangan sampai mencemuh apatah lagi memfitnah sehingga menjurus ke arah menghasut.

Individu yang dimalukan sehingga mendatangkan fitnah atau mengaibkan dirinya boleh mengambil tindakan undang-undang, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan sementara kes menghasut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Fikir-fikirkan, sebelum anda berkongsi pendapat di media sosial, kerana sekiranya ia menjurus kepada jenayah fitnah ia mungkin membawa anda kehilangan wang atau lebih teruk, ke penjara.

* Noor Azlida Alimin ialah wartawan Meja Jenayah dan Mahkamah Sinar Harian