TIADA yang lebih indah buat pemain badminton negara, Nur Izzuddin Rumsani apabila mendedikasikan kejuaraan Terbuka Artik di Finland kepada isteri, Mawar Mutiara yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-27 pada Ahad.
Nur Izzudin yang berpasangan dengan Goh Sze Fei memperagakan aksi bertenaga ketika menumpaskan gandingan nombor dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 15-21, 21-15, 21-19 dalam aksi final yang mendebarkan.
"Syukur Alhamdulillah semua kejayaan ini datang daripada Dia (ALLAH).
"Kemenangan ini juga khas buat isteri saya yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-27,” katanya.
Kejayaan berstatus Super 500 di Energia Areena, Vantaa itu adalah yang ketiga buat Nur Izzudin-Sze Fei yang turut cemerlang menjuarai Terbuka China (Super 1000) bulan lalu dan Terbuka Jepun (Super 750) pada Ogos.
Pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan kejayaan yang diraih tersebut bukan mudah, tetapi perlu melalui saingan sukar dan sengit daripada lawan.
"Ia bermula di peringkat suku akhir sehingga ke final,” katanya.
Menerusi kejayaan tersebut membolehkan pasangan nombor lapan dunia itu membawa pulang 'wang besar' berjumlah AS$33,180 (RM142,442).