BEIRUT - Perang Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran sudah merebak meluas di mana masing-masing menyerang balas merentas sempadan sehingga mengakibatkan ribuan penduduk Lubnan terkorban manakala jutaan lagi hilang tempat tinggal atau lari ke sempadan.
Serangan balas Iran terhadap Israel yang menjadi dalang pembunuhan beberapa pemimpin kumpulan pejuang Hamas seperti Ismail Haniyeh dan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah telah menyemarakkan rejim Zionis itu untuk menyerang 'titik kelemahan' musuh ketatnya itu.
Menurut pakar Asia Barat di Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik, Fabian Hinz, Israel mempunyai beberapa sasaran yang berkemungkinan termasuk fasiliti ketenteraan, ekonomi atau tapak nuklear milik Iran sebagai tindak balas serangan Teheran yang tidak pernah berlaku di wilayah diduduki rejim Zionis itu.
SASARAN TAPAK KETENTERAAN
Tindak balas langsung dilakukan Israel adalah seperti menyerang tapak peluru berpandu dan pangkalan dron Iran atau kubu bawah tanah terletak di bawah gunung.
Selain itu, rejim Zionis boleh melumpuhkan keupayaan Iran dengan menyerang berulang kali tapak penting seperti pangkalan pertahanan di Teheran dan pelabuhan di Teluk Parsi atau kilang senjata di Isfahan.
Walau bagaimanapun, semua serangan tersebut berkemungkinan berjaya digagalkan sistem pertahanan udara tercanggih Iran yang dberi nama Arman, Sayyad dan Khordad-15 di mana ia mampu mempertahankan ruang udara daripada sasaran sehingga 200 kilometer pada ketinggian berbeza.
TERMINAL MINYAK, LOJI PENAPISAN DAN INFRASTRUKTUR
Serangan terhadap infrastruktur minyak diramalkan berlaku jika Israel menyerang Iran yang mana Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pernah membincangkan langkah itu dan pada masa sama beliau memberi amaran tindakan itu akan menyebabkan natijah kepada kenaikan harga minyak global.
Sasaran paling disebut adalah terminal minyak di wilayah Kharg yang mengendalikan 90 peratus eksport minyak mentah di kebanyakan negara seperti China.
Kemudahan lain termasuk loji penapisan di Abadan terletak berhampiran sempadan dengan Iraq yang mengendalikan sebahagian besar keperluan minyak domestik di Iran.
"Industri minyak Iran mudah terdedah," kata Hinz sambil menambah jika Israel menyerang sasaran ekonomi Iran ia akan memberi kesan jangka panjang dengan merujuk seperti serangan baru-baru ini di Yemen dan pelabuhan Ras Issa dan Hodeidah.
Bagaimanapun, Iran berkata, mereka tidak melancarkan serangan sewenang-wenangnya dan hanya memilih sasaran ketenteraan berbanding penempatan awam seperti dilakukan Israel di Gaza atau Lubnan.
Serangan ratusan peluru berpandu Iran baru-baru ini di kemudahan ketenteraan Israel di Nevatim dan ibu pejabat agensi perisik Mossad hingga menyebabkan kerosakan besar-besaran menunjukkan Teheran mampu menyerang mana-mana kepentingan rejim Zionis walaupun wilayah itu dilindungi sistem pertahanan Iron Dome.
Ketua Kakitangan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri, berkata, jika diserang, Tehran akan bertindak balas dengan satu lagi serangan peluru berpandu yang lebih besar dan mampu mencapai sasaran pada jarak jauh serta tepat.
"Serangan intensif baru-baru ini akan diulang dengan skala lebih besar dan semua infrastruktur rejim Israel akan menjadi sasaran," katanya.
SASARAN NUKLEAR
Pakar ketenteraan percaya adalah mustahil bagi Israel untuk melancarkan serangan ke atas rangkaian tapak nuklear Iran tanpa bantuan ketenteraan langsung dari AS.Adalah mustahil Israel boleh menyerang tapak utama Iran memperkayakan uranium di Natanz dan Fordow di mana kedua-duanya berada di bawah tanah dilindungi puluhan meter ketebalan batu dan konkrit.
Kertas kerja oleh Darya Dolzikova dan Matthew Savill yang diterbitkan pada bulan April oleh Bulletin of the Atomic Scientists berkata, satu-satunya senjata konvensional yang boleh mencapai matlamat dengan menggunakan senjata penembus seperti GBU-57A/B buatan AS hanya boleh dibawa oleh pesawat pengebom seperti B-2 Spirit. - Agensi
Israel mempunyai beberapa sasaran serangan balas terhadap Iran seperti fasiliti ketenteraan, infrastruktur ekonomi dan tapak nuklear. Namun tidak mudah bagi Israel menyerang beberapa lokasi terbabit dengan kehadiran sistem pertahanan udara tercanggih Iran iaitu Arman, Sayyad dan Khordad-15 yang berupaya melindungi ruang udara daripada sasaran sejauh 200 kilometer pada ketinggian berbeza.