Peniaga rugi RM500,000 terpedaya pelaburan bangunkan resort di Pulau Perhentian

Iklan
Mangsa menyertai pelaburan membangun resort di Pulau Perhentian yang dianjurkan sebuah syarikat pada 23 Ogos 2020. Foto hiasan

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga berputih mata apabila rugi RM500,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan usaha sama bagi membangunkan resort di Pulau Perhentian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, peniaga berusia 44 tahun itu menyertai pelaburan membangun resort tersebut yang dianjurkan sebuah syarikat pada 23 Ogos 2020.

Iklan
Iklan

"Mangsa yang terpedaya menyatakan minat untuk menyertai pelaburan berkenaan dan telah menandatangani perjanjian bersama pemilik syarikat tersebut di Kuala Terengganu pada bulan yang sama.

"Dia ditawarkan pakej modal RM500,000 dan keuntungan dijanjikan berjumlah RM394,020 setiap setahun selama mana pengadu menyertai pelaburan tersebut," katanya di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, pengadu diarahkan oleh suspek untuk membuat pembayaran modal menyertai pelaburan itu ke sebuah akaun secara berperingkat.

Beliau memberitahu, sumber kewangan digunakan adalah daripada wang simpanan dan wang hasil perniagaan mangsa.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini mangsa masih tidak menerima sebarang keuntungan dijanjikan dan pihak penganjur gagal dihubungi.

"Lelaki itu telah membuat semakan bahawa resort yang dikatakan akan dibangunkan di Pulau Perhentian tidak berjalan seperti dalam perjanjian.

"Dia merasakan dirinya telah ditipu oleh syarikat berkenaan dan tampil membuat laporan polis pada Isnin," katanya.

Azli berkata, siasatan berhubung kes itu dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.