Amiruddin tamat perkhidmatan sebagai Pengarah Besar Felda

Iklan
Amiruddin tamat perkhidmatan sebagai Pengarah Besar Felda selepas empat tahun menerajui agensi kerajaan itu.

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Datuk Amiruddin Abdul Satar sebagai Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tamat pada Isnin selepas empat tahun menerajui agensi kerajaan itu.

Jabatan Komunikasi Strategik Felda berkata, sepanjang tempoh khidmat, Amiruddin telah memimpin Felda melalui pelbagai cabaran dengan penuh dedikasi dan visi yang jelas terutama dalam tempoh pascapandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Beberapa inisiatif penting telah dilaksanakan beliau termasuk pelaksanaan Kertas Putih: Ke Arah Kelestarian Felda yang merangka sebuah Model Felda Baharu.

"Model ini bukan sahaja memperkukuhkan asas organisasi tetapi turut memberi manfaat langsung kepada warga peneroka serta meningkatkan kesejahteraan komuniti Felda,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Menurutnya, bermula 15 Oktober 2020, Amiruddin turut berjaya memulihkan kewangan Felda melalui langkah pembaharuan dan pengurusan cekap.

"Pendekatan tegas beliau dalam kawalan kos dan peningkatan hasil operasi meletakkan Felda kembali di landasan yang stabil.

Iklan

"Beliau juga menekankan pembangunan ekosistem holistik, melibatkan kecekapan operasi dan pengurusan sumber, memastikan pertumbuhan jangka panjang Felda yang mampan dan berdaya tahan,” ujarnya.

Jabatan Komunikasi Strategik Felda menegaskan, asas yang dibina berkenaan akan menjadi panduan untuk kejayaan Felda pada masa hadapan.

Katanya, seluruh pengurusan dan warga Felda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Amiruddin atas kepimpinan beliau yang luar biasa, komitmen yang tidak berbelah bahagi serta perkhidmatan cemerlang yang telah dicurahkan sepanjang tempoh beliau mengetuai Felda.