Mesyuarat Tindakan Sara Hidup platform bincang tingkat kesejahteraan rakyat - PM

Iklan
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Putrajaya semalam. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara adalah platform untuk kerajaan meneliti permasalahan kos sara hidup rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan juga menjadi platform untuk kerajaan berbincang mengenai kaedah terbaik dalam meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Iklan
Iklan

"Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan bahawa indikator ekonomi Malaysia yang menunjukkan prestasi memberangsangkan kebelakangan ini, hanya mampu dimaknai sekiranya ia diterjemah dalam kehidupan rakyat terbanyak.

"Dalam ruang yang sama, saya meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memastikan tindakan segera diambil oleh kementerian dan agensi berkaitan setelah sesuatu keputusan dicapai,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Iklan

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Anwar di Putrajaya, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengulangi gesaan kepada perkhidmatan awam supaya menekankan aspek kepantasan, ketelusan dan penjimatan bagi meningkatkan tatakelola dan mutu penyampaian perkhidmatan.

Iklan

"Insya-ALLAH, Kerajaan Madani akan memastikan semua dasar dan inisiatif yang direncana akan mengutamakan agenda kebajikan rakyat, bagi memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada menikmati pembangunan dan kemakmuran negara,” katanya.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. - Bernama