LABUAN - Seorang wanita bersama anak perempuannya berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam lif selama setengah jam di sebuah bangunan perumahan di Kampung Sungai Bangat di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, wanita berusia 42 tahun tersebut difahamkan mahu menghantar anaknya yang berusia 10 tahun ke sekolah.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.36 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral dikejar ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
"Sebaik tiba, terdapat seorang wanita dan kanak-kanak perempuan terkandas dalam lif tingkat satu bangunan tersebut.
"Operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan dengan menggunakan peralatan khas dan berjaya menyelamatkan dua beranak tersebut keluar dari lif," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Katanya, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 6.52 pagi," katanya.