KUALA LUMPUR - Beberapa jalan utama menuju ke pusat bandar terhalang selepas dilanda banjir kilat pada pagi Selasa.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, trafik bergerak perlahan di Kilometer 6.3 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) arah selatan dari Bandar Utama ke Taman Tun Dr Ismail.
Ia selepas laluan susur masuk dua lorong terpaksa ditutup sementara selepas dinaiki air.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial turut berkongsi video memaparkan keadaan Jalan Parlimen ke Bukit Aman tidak boleh dilalui susulan limpahan air memenuhi jalan utama.
Turut dikongsikan keadaan jalan utama masuk ke Universiti Malaya terhalang selepas ditenggelami banjir.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi perkongsian di Facebook menasihatkan warga kota berhati-hati di jalan raya ekoran hujan lebat di Kuala Lumpur.
Ujar kenyataan itu, pemandu dinasihat memandu dengan perlahan ekoran jalan licin, menjaga jarak selamat dan tidak memotong lorong jika tiada keperluan.
Pengguna juga diminta memastikan lampu serta 'wiper' berfungsi dengan baik supaya penglihatan jelas ketika berdepan situasi cuaca hujan.
Sebelum itu, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat diramal berlaku antara jam 9 hingga 11 pagi, Selasa di beberapa kawasan.
Antaranya, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor (Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang).
Limpahan sungai utama sebabkan 11 kawasan KL banjir kilat
KUALA LUMPUR - Limpahan sungai utama di Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak ekoran hujan lebat pada pagi Selasa menyebabkan beberapa kawasan pusat bandar dilanda banjir kilat.
Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 11 kawasan dinaiki air iaitu Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn), Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Travers serta Jalan Damansara (bawah jejambat Semantan).
Menurutnya, turut terjejas, Jalan Ledang, Jalan Segambut, Jalan Genting Klang (berhadapan Shell), Jalan Genting Klang (berhadapan UTAR), Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan (Petaling Street).
"Hujan lebat dan berterusan bermula jam 8.30 pagi menyebabkan berlaku limpahan dari sungai-sungai utama meliputi Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak.
"Kejadian tersebut berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi iaitu melebihi 60 milimeter (mm) per jam, bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar adalah melebihi 114 mm per jam," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, petugas DBKL telah turun ke lapangan bagi memastikan situasi di kawasan terlibat dalam keadaan terkawal termasuk kerja penyuraian trafik bagi membantu melancarkan pergerakan kenderaan.
"Setakat jam 10.45 pagi, semua laluan utama di pusat bandar telah dibuka kecuali di Jalan Rahmat ditutup satu hala.
"DBKL juga mengaktifkan dua pam statik di Jalan Sultan Azlan Shah," ujar kenyataan itu.
DBKL memaklumkan, pihaknya telah membawa masuk tiga unit pam mudah alih bagi menyedut air bertakung di lokasi sekitar Bulatan Dato Onn dan keadaan kembali normal sekitar jam 9.18 pagi.
Selain itu katanya,kerja-kerja pembersihan di sekitar Jalan Parlimen telah selesai dilaksanakan oleh DBKL manakala kerja-kerja pembersihan di Jalan Sultan masih dijalankan.
"Berdasarkan tindakan proaktif yang telah diambil DBKL, majoriti kawasan terlibat dapat dikawal dan air bertakung telah surut dalam tempoh 30 minit.
"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati apabila hendak melalui kawasan yang masih belum surut sepenuhnya," katanya.