Bapa, ibu tiri mengaku dera budak enam tahun

Iklan
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

TAIPING - [DIKEMAS KINI] Seorang mekanik dan isteri keduanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa atas tuduhan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas anaknya yang berusia enam tahun.

Tertuduh berusia 48 tahun dan isterinya yang berusia 33 tahun didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama di sebuah rumah di Bagan Serai sejak Februari hingga 10 Oktober 2024.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit sebagai ibu bapa telah mendedahkan anak lelaki mereka berusia enam tahun itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Kedua-dua tertuduh kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman ke atas tertuduh sementara laporan perubatan kanak-kanak berkenaan yang masih dirawat di Hospital Taiping.

Iklan

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan In mencadangkan agar suami isteri itu tidak ditawarkan jaminan bagi mengelak kacau ganggu memandangkan mangsa tinggal bersama tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Varpal Singh Sagoo yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang atas alasan lelaki tersebut perlu menanggung empat orang anak dengan pendapatan sebanyak RM2,200, manakala wanita yang merupakan suri rumah itu pula menghadapi masalah kemurungan dan mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Parit Buntar.

Nabisha kemudian mengarahkan wanita itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh untuk pemeriksaan tahap kesihatan mental manakala suaminya tidak diberikan jaminan.

Mahkamah menetapkan tarikh 14 November depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan laporan perubatan.

Pada 12 Oktober lalu, media melaporkan pasangan suami isteri itu ditahan bagi membantu siasatan kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Ladang Kalumpang, Bagan Serai.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, suspek lelaki berumur 47 tahun adalah bapa kandung mangsa manakala isterinya yang berumur 33 tahun adalah ibu tiri mangsa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian muka, dada, kedua-dua tangan, kaki dan paha akibat dipukul.