Azura dilantik Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan baharu

Iklan
Azura. Foto KBS

PENGARAH Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin dilantik menerajui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang baharu berkuat kuasa pada Isnin.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Selasa yang menyebut bahawa Azura, 56, merupakan ketua pengarah yang kelapan agensi tersebut.

Iklan
Iklan

KBS yakin Azura dapat menerajui perkhidmatan agensi berkenaan dengan cemerlang dan meneruskan kesinambungan dalam memacu transformasi dalam pembangunan belia dan sukan di peringkat akar umbi seterusnya meningkatkan lagi kualiti ke tahap yang lebih tinggi demi masa depan generasi pewaris negara.

"Diharapkan beliau juga akan meningkatkan intergriti dalam kalangan warga JBSN seiring dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

"JBSN dan KBS akan terus komited untuk mencapai kecemerlangan dalam memimpin pembangunan belia dan sukan, serta memperkasakan suara anak muda demi kemajuan Malaysia Madani," catat KBS menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Azura berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Iklan

Beliau juga ditauliahkan dengan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia: Pengurusan Kerja Belia (Tahap 5).

Azura telah memulakan perkhidmatan di KBS pada 2001 di Bahagian Pembangunan Sukan KBS.

Dalam tempoh 23 tahun dalam perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di pelbagai organisasi di KBS.

Antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah Penolong Pengarah di Bahagian Pembangunan Sukan, Bahagian Rakan Muda, Pesuruhjaya Sukan dan Bahagian Industri Sukan serta Pengarah Pusat Belia Antarabangsa.

Beliau juga pernah memegang jawatan Pengarah Bahagian Pengurusan IYRES, Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Pengarah Cawangan Pembangunan Ekonomi, Bahagian Pembangunan Belia dan Penempatan.