REMBAU - Seorang pelajar warganegara Singapura tidak sempat menjalani latihan khidmat negara republik itu apabila maut di Kilometer 223.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada awal pagi Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Asisten Superintenden Nur Zuliati Razali berkata, kejadian kira-kira jam 4 pagi itu berlaku semasa Muhammad Razif Harun, 21, dalam perjalanan pulang ke negara itu selepas bercuti di Kuala Lumpur dengan menunggang motosikal jenis Yamaha XMAX 250.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa dari arah Senawang menghala ke Ayer Keroh.
"Apabila sampai di tempat kejadian, dia dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas sendiri di besi penghadang jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, akibat dari kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian kerana parah di bahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.