KUALA LUMPUR - Hujan lebat pada pagi Selasa telah menjejaskan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya selepas landasan stesen Sri Rampai ke Wangsa Maju ditakungi banjir.
Rapid KL menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, tiada perkhidmatan tren di antara Sri Rampai ke Taman Melati susulan kejadian itu dan tren alternatif telah diaktifkan.
Menurutnya, tren dari Putra Height akan berpatah balik di Sri Rampai serta pelaksanaan tren perantara di antara Taman Melati ke Gombak.
"Tiada perkhidmatan tren di antara Sri Rampai ke Taman Melati. Bas perantara akan disediakan tetapi dijangkakan mengalami kelewatan kerana banjir kilat.
"Penumpang dari Sri Rampai ke Taman Melati disarankan untuk menggunakan mod pengangkutan alternatif lain," katanya pada Selasa.
Pada Selasa, beberapa kawasan pusat bandar dilanda banjir kilat susulan hujan lebat.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat diramal berlaku antara jam 9 hingga 11 pagi, Selasa di beberapa kawasan.
Antaranya, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor (Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang).