[VIDEO] Nahas pelajar UiTM: Pemandu wanita didakwa bawah Seksyen 302

Iklan

DUNGUN - Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Dungun pada Selasa atas tiga pertuduhan melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, 9 Oktober lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ke atas tertuduh, Norizan Ismail, 49, dibacakan dihadapan Majistret, Nur Amira Fatihah Osman.

Iklan
Iklan
Tertuduh (tengah) didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap tiga pelajar, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Jamaludin, 20.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai, hadapan UiTM Dungun jam 7.35 malam.

Iklan

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Bagaimananapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.

Iklan

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru selama sebulan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 November depan.

Tertuduh (tengah) dihadapkan di Mahkamah Majistret Dungun pada Selasa.

Sementara itu, sepanjang prosiding tersebut tertuduh yang berpakaian lokap polis berwarna oren kelihatan resah dan sugul.

Pendakwaan ke atas tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya merangkap Pengarah Pendakwaan Negeri, Azizan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Dungun kira-kira jam 8.40 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Tertuduh sebelum ini ditahan reman bermula Khamis lalu dan berakhir pada Selasa.

Dalam kejadian pada 9 Oktober lalu, wanita itu yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.

Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan iaitu Ku Adib Aizad dan Khairil Anwar serta pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Muhammad Akmal.

Seorang lagi mangsa yang cedera dalam nahas itu ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20.