[VIDEO] Dakwaan Bloomberg: ‘Tiada arahan khusus kepada SPRM sebagaimana didakwa’

Iklan

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang arahan khusus diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam sebarang siasatan yang dilakukan sebagaimana didakwa agensi berita antarabangsa, Bloomberg.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, situasi sebenarnya yang berlaku hanyalah arahan umum yang diberikannya termasuk di Parlimen.

Iklan
Iklan

"(Sebelum ini) Saya mahu SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan badan-badan penguat kuasa bertindak memerangi rasuah tanpa tolak ansur dan badan penguatkuasaan memerangi jenayah dengan tegas.

"Ini arahan yang diberikan tapi tidak melibatkan kes-kes khusus kerana SPRM seperti juga Jabatan Peguam Negara harus bertindak bebas dan telus tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjawab soalan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 yang diadakan di Bangunan Parlimen, hari ini. Foto Bernama

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap agensi berita antarabangsa Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan SPRM sehingga telah mencemarkan imej beliau di dalam usaha memerangi salah guna kuasa dan rasuah.

Tambah Anwar, tohmahan tersebut bukanlah kali pertama yang dibuat agensi media antarabangsa itu kerana sebelum ini pernah membuat dakwaan berbahaya dan keterlaluan melibatkan beliau dan Yang di-Pertuan Agong dalam isu pembinaan kasino di Forest City.

Iklan

"Dakwaan kedua pula berdasarkan laporan 26 September lalu tentang arahan kepada SPRM. Setakat ini, tindakan perundangan sedang diteliti kerana pihak PDRM.

"Pihak polis telah menerima laporan dan mengambil beberapa tindakan termasuk memanggil wakil Bloomberg dan individu terkait pada 1, 8 dan 11 Oktober yang lalu.

"Bagaimanapun, oleh kerana dalam siasatan PDRM, saya serahkan kepada mereka menyiasat dan untuk Peguam Negara mengambil tindakan yang sesuai. SPRM sendiri membuat kenyataan tegas dan menafikan tohmahan tersebut kerana apa yang berlaku hanyalah arahan umum yang saya lakukan termasuk di Parlimen,” jelasnya.