RUU Mufti bukan digubal tergesa-gesa - Mohd Na'im

Iklan
Mohd Na'im

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebuah Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti telah ditubuhkan pada 2021 bertujuan untuk mengkaji dan menggubal suatu akta yang khusus untuk mufti.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, jawatankuasa berkenaan dianggotai wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

"Penggubalan RUU Mufti ini adalah usaha yang diambil oleh Kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Iklan

"Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan Hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa kumpulan dari Sabah dan Sarawak menolak penggubalan RUU berkenaan dengan mendakwa ia akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam sekelip mata.

Iklan

Menurutnya, perkara tersebut bertentangan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merupakan serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini.

Menurut Mohd Na’im, RUU Mufti telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti bagi memastikan suatu RUU yang komprehensif digubal dan teratur serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkuat kuasa.

"Sehubungan dengan itu, semua pihak dinasihatkan untuk berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik terhadap usaha murni ini,” kata beliau.