AMPANG - Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan 21 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam kejadian banjir di Jalan Hulu Klang, Batu 8 di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 10.28 pagi.
Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sampai di lokasi mendapati empat rumah dan sebuah Tabika Kemas telah terjejas banjir.
"Bomba telah mengarahkan penghuni rumah untuk pindah ke balai penghulu, manakala 21 pelajar Tabika Kemas telah diserahkan kepada ibu bapa masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, turut terdapat empat guru di premis tabika berkenaan.
Ujar beliau, pemantauan di lokasi mendapati situasi air menurun.