SUNGAI PETANI - Seorang tukang masak maut selepas kereta dipandunya melanggar bahagian belakang jentolak dalam kejadian di Jalan Lencongan Timur di sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa, Zuraini Murad, 48, dari Darulaman Perdana di sini meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah sama iaitu dari Taman Batik menuju ke Bukit Banyan di mana mangsa berada di belakang jentolak.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati apabila tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa yang sedang bergerak lurus telah melanggar jentolak dari arah belakang.
"Akibat pelanggaran itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk proses bedah siasat," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.