AMPANG - Polis mengeluarkan arahan kepada penghuni 20 unit rumah teres di Jalan E6, Taman Melawati di sini untuk berpindah sementara susulan insiden tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di lereng bukit pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah mengarahkan penghuni di kediaman yang dirasakan berisiko untuk berpindah sementara.
"Pada masa ini kita hanya dapat menyampaikan arahan ini hanya kepada sebahagian sahaja penduduk kerana sebahagian besar lagi penghuni sudah keluar bekerja.
"Kita (polis) bagaimanapun menempatkan pegawai dan anggota kita untuk memaklumkan arahan tersebut supaya dapat mengosongkan kediaman mereka untuk sementara waktu bagi tujuan keselamatan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mohd Azam berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tanah runtuh pada jam 10.30 pagi tadi di persimpangan Jalan Serdang dan Jalan E6, Taman Melawati.
"Kejadian berkenaan menyebabkan 20 rumah teres terputus laluan utama dan setakat ini sebuah kereta yang diparkir dalam rumah mengalami kerosakan akibat runtuhan tanah.
"Selain itu, kerosakan turut melibatkan sebuah kabin pondok pengawal namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku," katanya.
Beliau berkata, semua penduduk diarahkan berpindah ke dewan serbaguna, Jalan E6.
"Pada masa ini pihak Polis bersama pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, berada di lokasi kejadian untuk mengawasi keadaan semasa," katanya.