SHAH ALAM - Dua individu diburu polis bagi membantu siasatan kes culik kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang dari sebuah flat dekat Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, 8 Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini enam suspek berusia 13 hingga 23 tahun ditahan di sekitar Shah Alam, Klang di Selangor dan Segambut, Kuala Lumpur pada 12 Oktober.
"Siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti motif jenayah itu.
"Polis setakat ini dalam usaha mengesan dua lagi individu dipercayai mempunyai kaitan dengan enam suspek yang ditangkap," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mangsa dalam kejadian ini berjaya ditemui selamat pada jam 2.30 petang, 12 Oktober.
Dalam usaha menjejaki kehilangan kanak-kanak itu, siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berdekatan flat kediaman mendapati mangsa mulanya berjalan sebelum menaiki sebuah Perodua Myvi dipercayai diculik.
Berikutan itu, enam suspek termasuk dua wanita berjaya diberkas polis.
Polis turut merampas kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan sebagai kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.