SUNGAI PETANI -"Arwah seorang yang baik, suka masak, rajin melayan kehendak anak buah dan sangat disenangi semua orang."
Demikian luahan Normah Murad, 66, mengenai arwah adiknya, Zuraini, 48, yang dilaporkan meninggal dunia setelah terlibat kemalangan dengan sebuah jentolak di Jalan Lencongan Timur Sungai Petani pada Selasa.
Menurut Normah, adik bongsu daripada empat beradik yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hospital swasta di Seberang Jaya itu seorang yang rajin menjamu anak-anak buahnya makan.
"Arwah seorang yang suka melayan anak buah, apa yang mereka nak, semua dia masak dan jamu makan.
"Anak-anak (saya) pun suka kalau dia balik kampung," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim bagi menguruskan jenazah Zuraini sebelum dihantar pulang untuk proses pengebumian di Kampung Tok Dam, Pendang..
Jelasnya, Zuraini yang merupakan seorang ibu tunggal dan tinggal seorang diri di rumahnya di Sungai Petani ketika kejadian dalam perjalanan ke tempat kerja.
Seorang lagi kakak arwah, Hasnah, 60, berkata, arwah seorang yang sangat baik, suka berceloteh dan sering melayan ahli keluarga dengan pelbagai juadah disediakan.
"Baru sahaja jumpa arwah dua tiga hari lepas, dia pun rajin balik kampung, sebelum ini kami berkumpul di Pendang sebab meraikan perkahwinan anak saya, dia 'okay'," katanya.
Jelasnya, menjadi kebiasaan Zuraini memandu pada awal pagi untuk ke tempat kerja yang berjarak kira-kira 40 kilometer dari rumahnya.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi Selasa, arwah dilaporkan terlibat dalam kemalangan membabitkan kenderaan dipandu mangsa dengan sebuah jentolak.
Mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar jentolak yang berada di laluan sama dari arah Taman Batik menuju ke Bukit Banyan.
Pelanggaran menyebabkan kenderaan dipandu remuk dan mangsa maut di lokasi kejadian.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang tukang masak maut selepas kenderaan dipandu berlanggar dengan sebuah jentolak ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja.