Projek LRT Pulau Pinang dalam rundingan akhir

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN - Pemaju dan pemilik aset Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang merupakan syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan, MRT Corp serta kontraktor projek, SRS Konsortium Sdn Bhd sedang dalam rundingan terakhir berhubung projek berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, rundingan tersebut bagi memuktamadkan beberapa isu termasuk teknikal dan nilai kontrak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas dua isu penting itu dimuktamadkan, perjanjian antara dua pihak dijangka akan dimeterai sebelum kerja kontrak dimulakan.

"MRT Corp sebagai agensi pelaksana bersama SRS selaku kontraktor yang dilantik untuk kontrak segmen pertama, Mutiara LRT Line dari Bayan Lepas ke Komtar, adalah difahamkan bahawa dua pihak ini sedang dalam proses rundingan terakhir untuk memuktamadkan isu-isu teknikal dan nilai kontrak.

Iklan

"Setelah dua isu ini dapat dimuktamadkan, maka langkah seterusnya adalah memeteraikan perjanjian antara dua pihak sebelum apa-apa kerja kontrak berkenaan dapat dimulakan," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Selasa.

Tambah Kon Yeow berkata, tarikh untuk kerja pecah tanah hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan selepas perjanjian tersebut dimeterai.

Iklan

"Kita pun tahu, ada beberapa pengumuman telah dibuat sebelum ini yang menyatakan hasrat projek ini akan dimulakan pada suku akhir tahun ini. Maka dengan ini, bagi pihak kerajaan negeri, kita pun mahu lihat projek dari segi penilaian kerja di lapangan dapat dijalankan.

"Bagaimanapun, tarikh sebenar pecah tanah akan diadakan, ia perlu dijawab oleh Kementerian Pengangkutan atau MRT Corp kerana pihak ini yang bertanggungjawab ke atas projek ini.

"Kerajaan negeri sebenarnya menunggu tarikh upacara pecah tanah itu dapat dilakukan. Memang kita mengharapkan ada satu tarikh lebih awal untuk memulakan projek ini," katanya.

Berhubung segmen kedua projek itu iaitu dari pulau ke seberang, Kon Yeow berkata, setakat ini belum ada sebarang lantikan dibuat.

Projek LRT dengan jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral itu, dijangka dimulakan pada September atau Oktober tahun ini.

Sebelum ini, Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan pembangunan Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang pada Mac lalu yang dijangka siap pada 2030.

Kerajaan telah memutuskan untuk melantik MRT Corp, syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek tersebut.