Usaha lahirkan lebih ramai pendakwah antarabangsa

Iklan
PENDAKWAH perlu berhijrah dan mendapatkan pengalaman serta latihan di luar negara untuk menjadi imam yang berkesan di peringkat antarabangsa. Foto CANVA

RAMAI yang kagum dengan kepakaran dan kewibawaan para pendakwah bertaraf antarabangsa dalam menyebarkan mesej agama.

Namun apakah kepakaran mereka digilap atau dilahirkan dengan bakat semula jadi yang menyebabkan pendakwah itu tampil hebat di mata dunia?

Iklan
Iklan

Sebagai contoh, Pengasas An-Nur Institute for Islamic Studies and Arabic Language di Baltimore yang juga Presiden Majlis Perhubungan Islam Maryland, Amerika Syarikat, Imam Mohamad Bashar Arafat salah seorang daripada pendakwah antarabangsa yang gigih memperjuangkan dakwah Islam secara global.

Anak kelahiran Damascus, Syria itu juga mengasaskan dan mengetuai Civilizations Exchange and Cooperation Foundation (CECF), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang mempromosikan keamanan, hormat dan kerjasama dalam kalangan masyarakat dunia.

Iklan

CECF berperanan sebagai platform untuk menghimpunkan pelbagai komuniti bagi mewujudkan dunia yang lebih baik melalui pertukaran idea dan dialog antara tamadun.

IMAM MOHAMAD BASHAR

Iklan

Menurut Imam Mohamad Bashar, beliau percaya bahawa kehidupan yang bermakna adalah kehidupan yang dipandu oleh ajaran agama.

Imam Mohamad Bashar yang berkongsi pengalaman sebagai pendakwah kepada penulis melalui sesi temubual di platform Zoom berkata, beliau memulakan perjalanan dakwah di tanah airnya sendiri.

Beliau menerima didikan daripada Mufti Besar Syria, Allahyarham Sheikh Ahmad Kuftaro yang mementingkan dakwah di Amerika Syarikat dan Eropah.

"Sheikh sering menceritakan kepentingan dakwah di dunia Barat. Oleh itu, penting bagi pendakwah untuk mempelajari bahasa Inggeris," katanya.

Pada tahun 1980-an, Imam Mohamad Bashar memulakan langkahnya dengan merantau ke United Kingdom untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Selepas lima tahun, beliau kembali ke Syria dan banyak membantu Sheikh Ahmad dalam pelbagai program peringkat antarabangsa.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai imam di Universiti John Hopkins, telah mengasaskan CECF untuk menyatukan masyarakat Muslim yang pelbagai dan menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai pendakwah global.

Berdasarkan pengalaman beliau, ramai imam hanya dilatih untuk memenuhi keperluan komuniti setempat sahaja.

Dalam konteks dakwah global, Imam Mohamad Bashar merujuk kepada firman ALLAH SWT: "Dan Kami tidak mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya’: 107)

"Kita kekurangan pendakwah yang boleh berkomunikasi di peringkat global. Umat Islam perlu menjadi rahmatan lil alamin atau rahmat kepada seluruh alam.

"Dengan latihan yang tepat dan komitmen yang mendalam, mungkin lebih ramai pendakwah global dapat dilahirkan untuk menyebarkan ajaran Islam yang penuh hikmah dan kesejahteraan kepada seluruh dunia," tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa pendakwah perlu berhijrah dan mendapatkan pengalaman serta latihan di luar negara untuk menjadi imam yang berkesan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, cabaran utama di Amerika Syarikat ialah kecenderungan imigran Muslim untuk berpuak-puak mengikut etnik masing-masing dan ia sedikit sebanyak menghalang perpaduan dalam komuniti Muslim.

Dalam melaksanakan kerja dakwah, Imam Mohamad Bashar amat menekankan kepentingan tazkiyah iaitu penyucian jiwa.

"Pendakwah perlu sentiasa mendekatkan diri kepada ALLAH SWT melalui amalan rohani seperti solat malam, zikir dan membaca al-Quran.

"Kerja dakwah ini memerlukan kerohanian yang tinggi. Rasulullah SAW telah meninggalkan kita, tetapi amalannya tetap menjadi panduan untuk kita semua," katanya.

PENDAKWAH perlu mempersiapkan diri dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat dunia yang pelbagai latar belakang dan bangsa. Foto CANVA

Imam Mohamad Bashar turut mengamalkan solat tahajud setiap malam sebagai sumber kekuatan spiritual dalam kehidupannya.

Bagi beliau, ALLAH SWT yang menguruskan kehidupan kita dan bukan diri sendiri.

Beliau pernah berkunjung ke Malaysia pada tahun 2008 hingga 2013 melalui Kedutaan Amerika Syarikat.

Baru-baru beliau datang ke negara ini untuk membina jaringan dalam bidang dakwah. Beliau memuji keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Pada masa sama, beliau menyeru para asatizah untuk lebih aktif dalam dakwah di peringkat antarabangsa.

Beliau juga berharap agar lebih banyak organisasi dan yayasan di Malaysia dapat memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menjadi pemimpin Islam di peringkat global.

"Saya masih menunggu peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak di Malaysia bagi program dakwah antarabangsa, khususnya menjelang tahun 2025," jelasnya.

***FOUZIAH AMIR merupakan penulis di Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF)